MPN Terengganu tuntut penjelasan kenaikan sewa Pasar Payang

 Laporan Sinar Harian pada 11 Jun lepas. Gambar kecil: Amira
Laporan Sinar Harian pada 11 Jun lepas. Gambar kecil: Amira
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu pada Jumaat menuntut penjelasan daripada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan kerajaan negeri berhubung kenaikan mendadak sewa di Pasar Payang Kuala Terengganu.

Ketua Komunikasi MPN Terengganu, Amira Alias berkata, ini kerana keputusan tersebut memberi impak kepada peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.

"Kenaikan yang mendadak tersebut mengejutkan pelbagai pihak terutama peniaga di Pasar Payang yang sebelum ini sudah puluhan tahun berniaga di lokasi berkenaan.

"Umum mengetahui bahawa peniaga di pasar ini kebanyakannya golongan B40. Kenaikan itu akan memberi impak kepada perniagaan mereka.

"Bagi menyerap kenaikan harga sewa itu maka peniaga mungkin terpaksa menaikkan harga barangan jualan mereka," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kira-kira 400 peniaga Pasar Payang dekat sini merayu agar MBKT mengkaji semula kadar kenaikan harga sewa ruang niaga di bangunan baharu Pasar Payang 1 yang didakwa meningkat mendadak antara 300 hingga 485 peratus.

Menurut peniaga, Wan Saidah Abdul Ghani, 37, selain kadar sewa, bayaran deposit yang dikenakan juga terlalu tinggi dan tidak mampu dilunaskan secara sekali gus bagi membolehkan mereka mendapatkan kunci untuk berpindah ke premis baharu.

Sementara itu, Amira berkata, Pasar Payang merupakan suatu ikon pelancongan yang begitu terkenal di Terengganu bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jika peniaga terpaksa menaikkan harga barang jualan mereka akan memberi impak kepada kedatangan pelancong ke Pasar Payang dan Terengganu.

Justeru, Amira berkata, MPN Terengganu mahu pihak berwajib memberi penjelasan berhubung isu tersebut selain mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Hal ini bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi melindungi dan memperkasakan tarikan pelancong ke Terengganu," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!