Pengawal keselamatan positif dadah dalam Operasi Bersepadu JPJ

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Melaka, Reuben Ahsokhan (kiri) menyoal siasat, seorang pengawal keselamatan selepas hasil ujian saringan air kencingnya didapati positif methaphetamine selepas di tahan dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, malam tadi.
A
A

MELAKA - Masalah rumah tangga didakwa menjadi punca seorang pengawal keselamatan mula mengambil dadah selepas di tahan dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, malam tadi.

Lelaki berusia 32 tahun itu didapati positif methaphetamine dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan ketika operasi tersebut di Lebuh Alor Gajah, Melaka Tengah, Jasin (AMJ) berhadapan Taman Bukit Piatu Mutiara.

Ketika ditahan kira-kira jam 10.30 dia dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bukit Baru.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Reuben Ahsokhan berkata, hasil soal siasat terhadap pengawal keselamatan terbabit, dia mengakui mula mengambil dadah tersebut sejak hari kedua Aidilfitri lalu.

Menurutnya, lelaki terbabit antara tujuh yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi yang dijalankan itu dan kesemua mereka berusia antara 22 hingga 40 tahun tahun.

Muhammad Firdaus menunjukkan salah satu nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, malam tadi.
Muhammad Firdaus menunjukkan salah satu nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dalam Operasi Bersepadu Khas Motosikal sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019, malam tadi.

"Dalam operasi bersepadu yang dijalankan kami telah lakukan ujian saringan air kencing terhadap 32 orang manakala tujuh didapati positif dadah.

"Empat daripada mereka positif methaphetamine, dua positif opiate manakala seorang positif ganja.

Kami akan menghantar mereka ke pejabat AADK untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) 1983 pindaan 1998," katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Dalam operasi bersepadu bermula jam 8.30 hingga 11.30 malam tadi, disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), AADK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 420 kenderaan telah diperiksa.

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff, berkata sebanyak 190 saman telah dikeluarkan dan daripada jumlah itu, kesalahan tidak memiliki lesen serta tiada perlindungan insurans adalah yang tertinggi.

"Kesalahan lain ialah lesen tamat tempoh, tiada cukai jalan dan insurans serta ubahsuai motosikal termasuk mempamerkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

"Kita turut mengeluarkan notis sita terhadap 13 buah motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti ubah suai melampau dan tiada cukai jalan,” katanya.