Kes rasuah Bung Moktar, isteri disebut semula 4 Julai

Bung Mokhtar (tengah) ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
Bung Mokhtar (tengah) ditemui di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes tiga tuduhan rasuah RM2.8 juta Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izetti A Samad berhubung pelaburan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (FELCRA) empat tahun lalu akan disebut semula di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Julai ini.

Tarikh itu ditetapkan Hakim Rozina Ayob selepas Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Allan Suman Pillai memberitahu mahkamah bahawa beberapa dokumen berkaitan kes masih belum lengkap.

Menurut Allan, pihak pendakwaan telah menyerahkan satu dokumen mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah kepada pasukan pembelaan.

"Namun, pihak pendakwaan memerlukan tarikh lain bagi penyerahan dokumen selanjutnya dalam kes ini,” katanya pada sebutan kes itu hari ini.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Bung Moktar, 60, atau nama sebenarnya Moktar Radin mengesahkan pihaknya telah menerima dokumen tersebut.

Sementara itu, Rozina turut menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula bagi kes Zizie Izetti yang juga seorang pelakon yang berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan Bung Moktar berhubung projek sama.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan supaya kes melibatkan Bung Moktar dan Zizie Izetti dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan bersama.

Pada 3 Mei lepas, Bung Moktar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Artikel Berkaitan:

Bagi tuduhan pertama, Bung Moktar didakwa sebagai ejen kepada FELCRA iaitu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad (ketika itu) memperoleh suapan RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya Zizie Izetti.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan sebanyak RM150 juta untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Taman Melawati jam 12.30 tengah hari, 12 Jun 2015.

Bagi tuduhan kedua, Bung Moktar didakwa memperoleh suapan RM262,500 daripada Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund atas nama isterinya sebagai upah untuk mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II bagi FELCRA membuat pelaburan RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi tuduhan ketiga pula, Bung Moktar didakwa peroleh suapan RM337,500 daripada seorang lagi ejen Public Mutual Berhad melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund atas nama isterinya.

Bagi ketiga-tiga tuduhan itu, Bung Moktar didakwa mengikut Seksyen 17(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 21(4) akta sama.

Zizie Izzati juga didakwa pada tarikh sama atas pertuduhan bersubahat dalam tiga pertuduhan yang dihadapi Bung Moktar yang mana jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda lima kali jumlah nilai suapan yang menjadi perkara hal kesalahan itu atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.