Nasib Orang Asli Bateq terabai lama tanpa pembelaan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Nasib dan kebajikan Orang Asli Bateq di Taman Negara terpinggir sejak sekian lama dan perlu pembelaan daripada Kerajaan Negeri dan Pusat.

Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad mendakwa, komuniti tersebut tidak mendapat kemudahan pendidikan, kesihatan dan akses bagi kemudahan asas seperti air serta elektrik.

"Ada dalam kalangan mereka mengikuti persekolahan di peringkat rendah tetapi hanya seketika. Boleh dikatakan mereka ini tidak bersekolah.

"Mereka juga tidak mempunyai perigi sebaliknya menggunakan sungai sebagai sumber air bagi keperluan harian. Bagi mereka air sungai itu cukup bersih tanpa mengetahui mungkin berlaku pencemaran akibat pembalakan dan perlombongan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Katanya, walaupun suku Bateq hidup secara berpindah-randah tetapi mereka mempunyai kampung iaitu Dedari di Taman Negara namun, kampung ini juga tidak mempunyai keperluan asas yang baik.

"Ada yang menetap di kampung itu dan ada juga yang masih hidup berpindah-randah tetapi mereka akan kembali semula selepas beberapa bulan masuk jauh ke dalam hutan.

"Namun soal kebajikan mereka ini tidak wajar dipinggirkan. Pihak berkaitan sepatutnya menyediakan kemudahan kepada mereka ini," katanya.

Mengulas mengenai kematian misteri orang asli tersebut, Bob Manolan berkata, langkah drastik perlu diambil pihak berkaitan seperti kerajaan negeri dan Pusat.

Artikel Berkaitan:

"Pertama bina perigi buat mereka bagi memastikan bekalan air bersih dapat digunakan. Mungkin air sungai tidak lagi selamat untuk kegunaan mereka disebabkan pencemaran bahan kimia akibat aktiviti perlombongan.

"Ini merupakan tragedi dahsyat jika dibandingkan dengan pencemaran Sungai Kim Kim di Pasir Gudang kerana melibatkan kematian dalam jumlah agak besar," katanya.

Beliau berpendapat, isu kebersihan persekitaran penempatan bukan penyumbang kepada penyakit berjangkit seperti masalah kulit bersisik, berkudis dan radang paru-paru.

"Ini kerana pencemaran di penempatan orang asli Bateq tidak seteruk di kawasan bandar. Bahan asing dari luar yang masuk ke kawasan mereka cukup terhad.

"Mereka hanya menggunakan sumber alam sebagai makanan dan bagaimana pencemaran boleh berlaku. Populasi mereka jauh lebih kecil berbanding dengan penduduk bandar," katanya.

Justeru, beliau menggesa pihak bertanggungjawab memainkan mengambil tindakan drastik mengenalpasti punca kepada penyakit yang dialami orang asli suku Bateq.

"Jika benar berlaku pencemaran sungai akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan, ambil tindakan terhadap pihak terlibat," katanya.