Lantikan Adun DAP tidak bercanggah perlembagaan: Shafie

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Pemilihan seorang ahli DAP sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik tidak bercanggah dengan perlembagaan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata ADUN berkenaan dicadangkan oleh DAP merupakan seorang warganegara Malaysia yang menetap di Sabah.

"Kita kena hormat cadangan mereka dan tidak bercanggah dengan perlembagaan.Saya yakin beliau (ADUN) layak mengundi," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Kerajaan Negeri, di Menara Tun Mustapa, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah R.M. Jasni, menteri Persekutuan dan Kabinet negeri.

Mohd Shafie turut menasihatkan semua pihak agar tidak menjadikan perkara itu sebagai isu sebaliknya perlu meneruskan usaha dalam membangunkan negeri Sabah.

Baru-baru ini pemilihan Bendahari DAP Sabah Loh Ee Eng sebagai ADUN dilantik dipersoalkan kerana tidak dilahirkan di Sabah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata beliau akan memastikan semua agensi termasuk sukarelawan menyediakan keperluan ketika menghadapi bencana alam khususnya banjir.

"Kita ada peralatan dan instrumen dan sedikit masa saya akan panggil Setiausaha Kerajaan Negeri yang menjadi pengerusi bencana alam dan saya akan maklumkan kepada beliau supaya mengarahkan sumber tenaga bukan hanya pihak bomba tetapi juga sukarelawan untuk memberi bantuan perubatan dan makanan," katanya.

Mengenai majlis itu, Mohd Shafie berkata kedatangan ramai pengunjung menandakan ikatan persaudaraan diantara pelbagai kaum di Sabah.

Beliau yakin perpaduan dalam sambutan Hari Raya itu juga mampu mewujudkan sebuah negeri yang lebih membangun di masa akan datang.

"Ini merupakan petanda yang cukup baik. Kalau kita boleh raikan perayaan suasana perayaan Hari Raya Aidilfitri saya yakin kita boleh raikan bersama dalam membangunkan negeri Sabah," katanya. - Bernama