Segera sewa rumah PPR kosong kepada mangsa kebakaran

Liew Vui Keong
A
A

SANDAKAN - Unit rumah kosong di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini diharap dapat disewakan kepada mangsa kebakaran yang layak memohon, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Liew yang juga Ahli Parlimen Batu Sapi meminta Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) dapat mempercepatkan sebarang urusan PPR berkenaan bagi membolehkan mangsa kebakaran di kawasan itu mendapat tempat tinggal.

"Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karamunting sendiri iaitu George Hiew Vun Zin merupakan Pembantu Menteri KKTP, kita harap urusan PPR ini dapat disegerakan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Semalam, 23 rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Karamunting Baru di sini pada jam 2 petang dan seramai 33 keluarga menjadi mangsa insiden kebakaran itu.

Liew berkata, sejak menjadi wakil rakyat di kawasannya pada Mei tahun lepas, sebanyak empat kes kebakaran direkodkan berlaku di kawasan Batu Sapi antaranya di Kampung Gas dan terbaharu di Karamunting.

"Kesemua mangsa kebakaran ini yang layak memohon PPR, harap dapat dibenarkan menyewa misalnya mangsa kebakaran Kampung Air pada Mac lepas sehingga kini masih lagi menetap di dewan serbaguna.

"Keputusan mesti dibuat dengan cepat, mereka perlu dibantu, mereka adalah pengundi kita," katanya.

Selain itu, Liew mengingatkan agar penduduk Batu Sapi tidak lalai dan meninggalkan orang tidak berkeupayaan termasuk warga emas tinggal sendirian di rumah bagi mengelakkan kecuaian sehingga menyebabkan kebakaran.

Sementara itu, Liew berkata perbincangan telah diadakan bersama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menstruktur semula tapak penempatan yang terbakar namun perkara itu perlu penelitian lanjut.

"Di Batu Sapi ini ada 18 penempatan dengan hanya tujuh sahaja ada status perkampungan.

"Baki 11 lagi penempatan tidak berstatus ekoran sama ada penduduk menduduki tanah yang ada pemilik (pemilik itu sendiri menyewakan tempat itu kepada orang awam atau tanah itu dicerobohi)," katanya.

Sekiranya kawasan itu sudah diiktiraf sebagai kampung baru, tempat itu dapat distruktur lebih baik dengan pemberian lot rumah mengikut nama, katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia