Segera hantar permohonan PPR - Kor Ming

Kor Ming (tengah) pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke tapak cadangan projek di Laman Tasek Perdana pada Isnin.
Kor Ming (tengah) pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke tapak cadangan projek di Laman Tasek Perdana pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Setiap negeri diharap segera menghantar permohonan bagi pembinaan projek perumahan rakyat (PPR) termasuk menawarkan tapak tanah yang strategik bagi membolehkan ia dilaksanakan segera.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, langkah itu bagi membolehkan penyusunan secara teratur pembinaan PPR dapat dibuat di setiap negeri yang memerlukan kos yang agak tinggi.

Jelasnya, setakat ini Negeri Sembilan sudah mengemukakan empat tapak tanah bagi pembinaan PPR antaranya di Jelebu, Seremban dan Nilai manakala Johor di Larkin serta Kulai.

"Mana-mana kerajaan negeri yang sudah menawarkan tanah percuma atau hanya mengenakan kadar premium nominal, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), akan berikan keutamaan dalam pembinaan PPR.

"Saya berharap agar lebih banyak negeri akan menawarkan tanah dengan projek akan dilaksana berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'. Tentang bajet pula, jika tidak cukup kita akan minta daripada Kementerian Kewangan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke tapak cadangan projek di Laman Tasek Perdana dekat sini pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) di setiap negeri perlu mengenal pasti tapak tanah yang sesuai bagi pembinaan PPR dengan melaksanakan kajian kebolehlaksanaan projek.

"Tapak tanah ini cukup penting sekiranya lokasinya strategik dan ideal untuk dihuni, kementerian akan beri pertimbangan sewajarnya.

"Pemberian tanah secara percuma oleh mana-mana kerajaan negeri ini bagi pembinaan PPR akan mengoptimumkan kos pembinaan rumah.

"Sebelum ini, dianggarkan 30 peratus daripada kos keseluruhan pembinaan digunakan untuk pembayaran tanah. Selepas itu bangunan dibina kualitinya agak rendah kerana tiada wang, disebabkan peruntukkan disalurkan untuk membeli tanah sahaja," ujarnya.

Pada 19 Mac lalu, Kor Ming dilaporkan berkata tawaran pembinaan PPR dibuka kepada semua negeri dengan projek akan dilaksana berdasarkan 'siapa cepat dia dapat'.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM387 juta bagi pembinaan PPR dan RM358 juta lagi untuk projek rumah mesra rakyat untuk seluruh negara.