Kematian misteri di Gua Musang: Kementerian mahu siasatan menyeluruh

Orang asli suku Bateq di Gua Musang berpindah dari kediaman mereka selepas kampung komuniti itu diserang penyakit misteri sejak sebulan lalu. (Gambar kecil: Tengku Zulpuri)
Orang asli suku Bateq di Gua Musang berpindah dari kediaman mereka selepas kampung komuniti itu diserang penyakit misteri sejak sebulan lalu. (Gambar kecil: Tengku Zulpuri)
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli (KATS) akan melakukan siasatan menyeluruh dan terperinci berhubung dakwaan berlaku pencemaran serius di Kampung Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan.

Timbalan Menterinya, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, terdapat laporan yang mendakwa aliran air sungai telah disekat oleh pelombong dan pembalak yang mendapat kebenaran untuk melakukan aktiviti di kawasan terbabit.

“Buat masa ini saya tidak mahu mendahului sebarang siasatan daripada jabatan dan agensi lain tetapi apa yang boleh saya katakan mungkin masalah air tercemar daripada bahan perlombongan di kawasan ini.

“Saya difahamkan pembalak dan pelombong telah menutup aliran sungai dan saya bimbang terdapat kemungkinan sisa perlombongan ini masuk ke dalam sungai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Tengku Zulpuri dijangka melawat kawasan kampung terbabit bagi meninjau keadaan penduduk berkenaan.

“Sebelum saya dilantik sebagai Timbalan Menteri, memang saya dan isteri sering masuk ke dalam kawasan kampung ini sebagai aktivis. Kali ini saya hadir sebagai mewakili kementerian untuk memastikan kegiatan pembalakan dan perlombongan ini mengikut peraturan yang ditetapkan.

“Dari segi penguatkuasaan dan pengeluaran lesen tanah ialah di bawah kuasa kerajaan negeri tetapi lesen operasi adalah di bawah kerajaan Pusat,” jelas beliau.

Menurut beliau, suku kaum Bateq adalah yang paling sedikit dalam komuniti masyarakat orang asli di seluruh negara yang dianggarkan seramai 1,516 orang dan mereka tinggal di sekitar kawasan Taman Negara di Pahang, Perak dan Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Justeru, saya harap sangat semua pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli, Kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan dapat bekerjasama untuk menyelesaikan masalah ini dengan secepat mungkin kerana saya sendiri rasa susah hati bimbang ada sesuatu yang tidak kena dalam kejadian ini,” ujarnya.