Sampah Kanada ada di Bentong

Wong Tack (kiri) dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen menunjukkan sisa plastik yang diimport dari Kanada ketika melakukan tinjauan di kawasan gudang tersebut di Karak, baru-baru ini.
Wong Tack (kiri) dan ADUN Bilut, Lee Chin Chen menunjukkan sisa plastik yang diimport dari Kanada ketika melakukan tinjauan di kawasan gudang tersebut di Karak, baru-baru ini.
A
A
A

BENTONG - Pejabat Parlimen Bentong berjaya membongkar sebuah gudang simpanan sisa plastik dari Kanada tanpa lesen perniagaan yang sah di Karak di sini baru-baru ini.

Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack berkata, pihaknya menerima maklumat pengusaha gudang simpanan sampah import yang beroperasi selama setahun secara haram itu daripada penduduk yang tinggal berhampiran.

"Saya amat kecewa dengan pengusaha kilang tidak bertanggungjawab yang mementingkan keuntungan berbanding menjaga kepentingan alam sekitar demi kesejahteraan masyarakat.

"Sisa plastik ini diimport dari Kanada. Apa yang lebih menyedihkan dan saya sakit hati, kawasan gudang berdekatan dengan sungai dan sampah pula ditanam di tepi sungai," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini hari ini.

Sisa plastik yang diimport itu juga dikumpul di tepi sungai secara terbuka dan akan ditanam untuk tujuan pelupusan.
Sisa plastik yang diimport itu juga dikumpul di tepi sungai secara terbuka dan akan ditanam untuk tujuan pelupusan.

Menurutnya, aktiviti pelupusan sisa plastik berlaku seperti dakwaan penduduk ketika tinjauan dilakukannya di gudang meliputi keluasan 1 hektar itu dua minggu lalu sebelum melaporkannya kepada menteri berkaitan.

"Kita sudah melaporkan perkara ini kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin dan pihaknya akan menghantar pasukan penyiasat ke gudang tersebut dalam masa yang terdekat.

"Kita pelik bagaimana sisa plastik yang jauh dari Kanada boleh sampai ke Malaysia. Kita harap kerajaan akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya dan pemilik gudang perlu membersihkan sampah di kawasan tersebut," katanya

Artikel Berkaitan:

Wong Tack berkata, masyarakat di negara perlu segera melaporkan kepada pihak berkuasa jika terlihat aktiviti pelupusan sisa sampah plastik di kawasan rumah mereka.

"Saya berharap aktiviti pelupusan seperti ini tidak berkembang di kampung-kampung di Pahang malah negara ini dan kita harap masyarakat memberi kerjasama dengan pihak berkuasa bagi kita banteras aktiviti ini.

"Saya juga berharap mereka yang terlibat dengan bisnes ini supaya bertanggungjawab, bersikap rasional sebagai rakyat Malaysia dan tolong tidak merosakkan alam demi kepentingan diri sendiri," katanya.

Sisa sampah dilonggok di gudang yang sudah beroperasi secara haram selama setahun.
Sisa sampah dilonggok di gudang yang sudah beroperasi secara haram selama setahun.

Menurutnya, peranan perlu dimainkan semua pihak dan tindakan perlu dilakukan sebelum perkara itu menjadi lebih serius sehingga membolehkan Malaysia menjadi tong sampah kepada negara maju di seluruh dunia.

"Kita tidak mahu digelar tong sampah dunia oleh negara luar dan negara maju. China pun tidak menerima aktiviti bisnes seperti ini," katanya.