Korban raya demi pelanggan

Sanisah menunjukkan lemang yang sedia dijual kepada pelanggan di Gerai Lemang USA di Jalan Pandamaran.
Sanisah menunjukkan lemang yang sedia dijual kepada pelanggan di Gerai Lemang USA di Jalan Pandamaran.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Tidak lengkap sambutan Aidilfitri jika lemang tidak dihidangkan kepada tetamu yang bertandang.

Justeru tidak hairanlah jika pengusaha Gerai Lemang Sanisah dan Anak-Anak atau lebih dikenali sebagai Lemang USA di tepi Jalan Pandamaran di sini tidak menang tangan.

Sanisah Darus, 50, berkata, perniagaan lemang itu diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu dan mempunyai pelanggan tetap.

“Setiap tahun saya dan anak-anak sanggup korbankan raya. Selepas bersalam dengan ibu, kami akan terus ke gerai lemang untuk memulakan perniagaan sebab tidak mahu hampakan pelanggan.

“Memang kami beraya di gerai lemang sahaja sambil makan juadah raya. Anak-anak pun sudah biasa dengan keadaan ini malah mereka akan bertanya jika saya lambat buka gerai.

“Syawal beri pendapatan tambahan kepada kami sekeluarga kerana gerai dibuka 24 jam iaitu sehari sebelum sehinggalah habis raya,” katanya ketika ditemui di gerainya semalam.

Ibu kepada 10 cahaya mata itu berkata, walaupun penat namun berbaloi.

“Saya guna resipi turun temurun daripada opah yang berasal dari Perak selain mementingkan kualiti bahan yang digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Selain beras pulut susu saya menggunakan daun pisang hutan yang berbau harum berbanding jika daun pisang biasa,” katanya.

Menurutnya, dia masih menggunakan cara tradisional bagi mengekalkan keenakan lemang.

“Ada segelintir pengusaha lemang lain beralih kepada proses pembakaran secara separuh tradisional yang dikenali sebagai ‘lemang rebus’.

“Mereka akan rebus dahulu beras pulut yang dimasukkan ke dalam buluh dengan adunan lain hingga masak. Kemudian barulah lemang dibakar.

“Disebabkan lemang direbus itu sudah masak melayur ke atas api itu hanyalah untuk mengaburi pembeli bagi mendapatkan warna kehitam-hitaman pada buluh seolah-olah ia telah menjalani pembakaran secara tradisional,” katanya.

Sanisah berkata, pembakaran lemang secara tradisional memakan masa lama dan ada yang melebihi dua jam bagi memastikannya benar-benar masak dengan sempurna.

“Pelanggan tak kisah lemang kami dijual antara RM17 hingga RM20 sebatang, bergantung kepada saiz lemang kerana kami mementingkan kualiti berbanding kuantiti,” katanya.