Korban Syawal demi impian di Australia

Emman Azman
Emman Azman
A
A
A

SAMBUTAN Hari Raya Aidilfitri bagi si perantau yang berjauhan daripada keluarga tersayang di Malaysia sememangnya menjentik kerinduan tersendiri.

Namun bagi pengusti pertama Malaysia yang beraksi dalam kejohanan gusti New Japan Pro Wrestling (NJPW), Tamashii di Australia, Emman Azman, ia merupakan sesuatu perkara perlu dibiasakan sejak berkelana di negara tersebut empat tahun lalu.

Malah bagi juara Melbourne City Wrestling (MCW) Intercommonwealth tersebut perasan kerinduan itu harus diletakkan diketepikan sementara dalam misi mengembangkan kariernya.

“Sejujurnya ini merupakan sambutan Hari Raya Aidilfitri keempat yang Emman rai berjauhan daripada ahli keluarga tercinta.

“Bagaimanapun kemeriahan meraikan hari kemenangan umat Islam ini tetap terasa apabila Emman dapat meraikan bersama-sama rakan dari Malaysia yang tinggal di perantauan dengan mengadakan potluck.

“Bagi yang berjauhan daripada keluarga disebabkan faktor belajar atau karier, menyambut Aidilfitri bersama-sama rakan-rakan adalah kenangan terindah biarpun tidak seindah beraya bersama keluarga dan saudara mara lain,” kata Emman kepada Sukan Sinar.

Emman sebelum ini mencipta sensasi apabila menjadi rakyat pertama beraksi dalam arena gusti profesional.

Emman ketika bertarung menentang Jarvis di Melbourne, baru-baru ini.
Emman ketika bertarung menentang Jarvis di Melbourne, baru-baru ini.

Dalam penampilan pertama dalam pentas NJPW, Emman yang terkenal dengan julukan Golden Boy mengambil masa 11 minit untuk menewaskan seterunya dari Australia, Jarvis dengan teknik KL Gold Running Elbow di Melbourne.

Sebagai rekod, Emman pernah mengalahkan Jarvis dalam perlawanan MCWBlood In TheWater di Melbourne pada 8 April lalu.

Kali pertama Emman menentang Jarvis dalam MCW Ascension Tournament, Mei tahun lalu.

Dalam pada masa sama penggusti berusia 22 tahun itu memberitahu memori menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama keluarganya kembali menggamitnya setiap kali 1 Syawal.

“Emman rindu pagi raya pergi masjid solat sunat Aidilfitri dengan ayah dan sepupu Emman. Emman juga rindu malam raya ketika menolong ibu masak dan sediakan makanan raya.

“Selain itu, kenangan menggamit memori setiap kali raya sebelum ini adalah dapat menikmati juadah raya bersama-sama kawan dan keluarga, dan selepas itu rehat di kerusi panjang dan tengok televisyen atau main game bersama-sama mereka.

“Kerinduan itu bersama-sama ahli keluarga terubat dengan video call ibu selepas solat sunat raya dan mesej ucapan kepada ahli keluarga Emman,” katanya yang menggemari menu wajib Aidilfitri seperti lemang, soto dan aneka rendang.