Sisa asing cemari bumi Malaysia

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin baru-baru ini turun padang untuk melihat sendiri sisa plastik yang dilambak ke Malaysia dari negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan China. -FOTO BERNAMA
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin baru-baru ini turun padang untuk melihat sendiri sisa plastik yang dilambak ke Malaysia dari negara-negara seperti Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan China. -FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pernahkah terbayang di fikiran kita, susu yang diminum penduduk Australia, botolnya plastiknya yang sudah berulat dibuang jauh sampai ke Malaysia?

Penduduk Kanada, Jepun dan Perancis yang menikmati sarapan pagi dengan roti enak tetapi bungkusan roti dan sisa plastik lain dibawa melalui perjalanan separuh dunia untuk dilambak di Malaysia.

Tidak ketinggalan, United Kingdom membuang kabel-kabel elektrik industri yang diisytihar sebagai tembaga manakala Amerika Syarikat pula menghantar timbunan kabel alat elektrik dan eletronik buruk ke negara kita.

Begitu juga dengan cawan plastik kotor air zam zam dari Makkah yang turut berakhir di bumi kita.

Ratusan ribu tan sisa itu dihantar ke Malaysia saban tahun dengan ada di antaranya terperap dalam ratusan kontena yang tersadai di beberapa pelabuhan negara ini akibat tidak dituntut.

Baru-baru ini, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Pulau Pinang mengesan 265 kontena mengandungi sisa sampah yang tidak dituntut di Pelabuhan Pulau Pinang sejak Januari lalu.

Selain itu, sebanyak 152 kontena yang dipercayai mengandungi sisa plastik tercemar juga dikesan belum dituntut di Pelabuhan Westport.

Sumber memberitahu Bernama bahawa pihak berkenaan dipercayai enggan menuntut kontena berkenaan susulan tindakan tegas Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam membanteras lambakan sisa asing di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

BUSUK, BERULAT

Mengapa Malaysia perlu menanggung beban untuk melupuskan sisa yang kebanyakannya dari negara-negara maju itu?

Pihak terbabit sama ada pengeksport atau pengimport sisa mendokumenkan sampah itu sebagai sisa kitar semula.

Namun, realitinya, ia tidak mematuhi spesifikasi tujuan itu malah sebahagian besar daripadanya adalah sisa yang tidak boleh dikitar semula.

Sumber itu berkata bukan semua sisa diterima bersih seperti yang sepatutnya, sebaliknya ia dalam keadaan kotor, berbau kepam, berair, busuk dan berulat.

Beliau berkata syarikat-syarikat kitar semula yang menerima sisa berkenaan nampaknya sanggup menggadaikan alam sekitar negara dengan ‘menutup mata’ kepada pencemaran hasil daripada proses pengasingan, pembersihan, pembakaran dan pembuangan sisa plastik yang tidak boleh dikitar semula.

“Habuannya hanyalah 60 sen bagi setiap kilogram sisa yang kononnya ‘diproses’ itu,” kata sumber itu.

Beliau menjelaskan sekiranya kerja kitar semula dilakukan, ia memerlukan kerja tambahan seperti pengasingan dan pembersihan yang banyak menggunakan sumber negara terutamanya air bersih.

“Bagi sisa yang tidak boleh dikitar semula, ia selalunya dibakar secara terbuka hingga menyebabkan pencemaran asap bertoksik yang boleh menyebabkan kanser seperti yang berlaku di Jenjarom (Selangor) baru-baru ini.

“Malaysia juga diancam pencemaran, sungai dan tanah berikutan air daripada pembersihan sisa mengalir masuk ke sungai selain mendap ke dalam tanah. Ada juga yang dibuang atau dibiarkan berlonggokan begitu sahaja di kawasan hutan atau tanah terbiar,” kata sumber itu.

CEMAR SUNGAI, TANAH

Sumber itu berkata keadaan menjadi lebih buruk apabila kebanyakan syarikat itu tidak mempunyai premis khusus untuk memproses sisa seperti plastik sebaliknya dipercayai menyerahkan ‘tugasan’ itu kepada kilang-kilang yang beroperasi secara haram di seluruh negara khususnya di negeri-negeri yang berdekatan dengan pelabuhan.

“Selangor adalah antara negeri yang mempunyai banyak kilang haram. Walaupun sudah dikenakan tindakan termasuk diarahkan tutup atau didakwa di mahkamah, pemiliknya mudah mendapatkan lokasi baharu untuk membuka kilang lain,” kata sumber itu.

Dalam usaha membendung kegiatan pencemaran daripada pemprosesan sisa plastik, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim telah bertindak tegas dengan menutup 148 kilang kitar semula sisa plastik haram termasuk 33 di Jenjarom yang melanggar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di seluruh negara sejak Januari hingga April lalu.

Sejak bulan lepas pula, kementerian memeriksa 123 kontena mengandungi sisa pepejal dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun, China, Sepanyol, Kanada, Australia, Netherlands, Jerman, Arab Saudi, Singapura, Bangladesh, Norway dan Perancis yang dibawa masuk menerusi permit import (AP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JSJPN).

Sebanyak 60 daripada kontena tersebut mengandungi 3,000 metrik tan plastik yang akan dihantar kembali ke negara asal selepas pemeriksaan rapi dilakukan pihak berkuasa.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bi Yin berkata daripada 60 kontena itu pula, sebanyak 10 kontena akan dihantar kembali ke negara asal dalam tempoh 14 hari.

Sebelum ini, kementerian telah menghantar pulang lima kontena ke Sepanyol, katanya sambil memberitahu bahawa Malaysia menggunakan undang-undang tempatan seperti Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi menjadikan mandatori kepada pengimport atau pengeksport untuk menghantar balik sisa itu ke negara asal.

SUKAR KESAN

Antara cabaran yang dihadapi Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim adalah untuk menentukan negara asal sisa yang diimport ke Malaysia bagi tujuan pemulangan semula.

Pihak berkuasa yang memerika kontena berkenaan mendapati ada sisa itu didaftarkan sebagai dari China namun kandungannya adalah dari Perancis.

Sumber berkenaan mendakwa adanya dalang dalam menguruskan penghantaran sisa berkenaan termasuk menukar dokumen Bil Muatan (BL) (Eng: Bill of Lading) bagi mengelirukan pihak berkuasa tentang negara asal pemilik kontena.

Dalam dunia perkapalan, aktiviti menukar BL adalah amalan biasa untuk membolehkan penukaran beberapa maklumat seperti nama pengeksport dan butiran negara asal yang dikatakan bertujuan melancarkan transaksi perniagaan.

‘Orang tengah’ berperanan sebagai penghubung antara pengeksport di negara asal sisa dengan pengimport di negara penerima boleh memainkan peranan mengikut kehendak klien dengan menukar maklumat yang perlu asalkan sisa dapat dihantar dan tiba di negara pengimport.

Meskipun pengimport boleh meminta maklumat penukaran BL daripada syarikat perkapalan namun, dari aspek undang-undang syarikat perkapalan terbabit boleh memilih untuk tidak memenuhi permintaan ini.

Sumber itu juga memberitahu bahawa berlakunya perbuatan tidak mengisytiharkan sisa mengikut standard antarabangsa iaitu Harmonised Commodity Description and Coding System (HS), dengan kebanyakan sisa diisytihar menggunakan kod 3920 iaitu sisa pepejal, yang tidak memerlukan permit import (AP), dan bukannya kod 3915 bagi sisa plastik.

Kod 3920 merujuk kepada plat plastik, helaian, filem dan jalur kerajang manakala 3915 merujuk kepada sisa plastik, pena dan sekerap.

HS merupakan sistem global bagi mengklasifikasikan produk-produk yang didagangkan di peringkat antarabangsa.

Banyak pihak didapati sanggup berdolak dalik dan melakukan penipuan demi mengaup keuntungan daripada perdagangan sisa plastik global yang dianggarkan bernilai lebih $5 bilion setahun. RUANG SISI

Negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Vietnam menjadi ‘tong sampah dunia’ apabila sering menerima masuk sisa dari negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun, Jerman, Britain, Belgium dan Kanada.

Lebih memburukkan keadaan apabila China mengenakan sekatan ke atas import kertas dan plastik boleh dikitar semula pada Januari 2018.

Ini menyebabkan Malaysia menerima lebih banyak sisa import berbanding negara-negara lain dengan kemasukan sebanyak 750,000 tan metrik plastik pada 2018 yang bernilai lebih RM483 juta (AS$116 juta), menurut Institut Industri Kitar Semula Sekerap (ISRI).

Import sisa China didapati menurun daripada lebih 600,000 tan sebulan pada 2016 kepada 30,000 tan sebulan sejak Januari 2018.

Thailand juga bertindak menghentikan import sisa plastik manakala Vietnam pula memperkenalkan kawalan ketat berhubung perkara itu bagi mengelakkan mereka menjadi tong sampah kepada negara maju.

Baru-baru ini, sebanyak 187 negara termasuk Malaysia menerima pakai pindaan Konvensyen Basel - perjanjian yang dimeterai pada 1989 bagi mengurangkan pergerakan sisa plastik dan berbahaya merentasi sempadan negara.

Pindaan itu akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2021 dan memerlukan negara-negara yang mengeksport sisa plastik supaya mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada negara-negara yang mahu menerima sampah berkenaan.- Bernama