Anwar kutuk keras pembunuhan Khamenei

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei yang berpotensi mencetuskan ketidakstabilan serius dan berpanjangan di Asia Barat.
Dalam catatan di platform X, beliau menegaskan bahawa serangan yang disengajakan terhadap ketua negara mewujudkan duluan berbahaya dan melemahkan norma serta prinsip yang menjadi asas tatanan antarabangsa.
"Mereka yang menyambut kematiannya dengan kegembiraan harus menyedari akibat daripada tindakan sebegini. Ancaman yang bersifat eksistensial jarang memberikan tindak balas yang dapat dijangka,” katanya.
Perdana Menteri turut menyampaikan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran pada detik yang amat mencabar ini, namun menekankan agar pihak berkuasa Iran bertindak dengan penuh berhemah.
Beliau berkata, bahawa Malaysia menyokong kenyataan negara-negara prihatin yang menyeru semua pihak agar tidak meningkatkan ketegangan.
"Malaysia menyeru gencatan senjata segera, perlindungan terhadap orang awam serta kembalinya dialog serius. Krisis ini tidak boleh diselesaikan melalui kekerasan. Ia memerlukan diplomasi, kesabaran dan iltizam politik," katanya.
Anwar menekankan bahawa keutamaan beliau ialah keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Iran, negara-negera Teluk dan Asia Barat secara amnya.
"Bagi semua rakyat Malaysia di kawasan terjejas, kerajaan mengambil setiap langkah yang mungkin untuk memastikan keselamatan anda. Misi kita telah diberikan mandat dan sumber penuh untuk membantu anda,” katanya.
Beliau turut menyatakan kerajaan akan menilai dengan segera kesan ekonomi konflik ini, termasuk risiko terhadap ruang udara serantau dan kebebasan navigasi melalui Selat Hormuz.
"Keselamatan perdagangan dan sumber tenaga Malaysia terlibat secara langsung dan kita akan bertindak mengikut keperluan untuk menjaga kepentingan negara,” katanya.
Berita kematian Khamenei disahkan pagi Ahad apabila saluran penyiaran milik negara itu, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), mengumumkan bahawa 'Pemimpin Agung Iran telah syahid'
Terdahulu, Presiden Amerika Syarikat. Donald Trump dan Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan bersama yang dilancarkan ke atas negara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Malaysia, Datuk seri Anwar Ibrahim mengecam keras pembunuhan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei
- Beliau menyatakan serangan tersebut mencipta duluan berbahaya dan melemahkan norma antarabangsa
- Anwar mengirimkan takziah kepada Iran dan menyeru agar tindakan berhemah diambil
- Malaysia menyokong seruan gencatan senjata dan dialog untuk menyelesaikan krisis
- Keselamatan rakyat Malaysia di kawasan Asia Barat menjadi keutamaan bagi kerajaan Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
