Melaka cari kaedah pelancong menginap, tidak hanya melancong

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menunjukkan statistik kajian purata penginapan berbayar oleh Tourism Malaysia (TM) di hotel-hotel negeri ini.
Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menunjukkan statistik kajian purata penginapan berbayar oleh Tourism Malaysia (TM) di hotel-hotel negeri ini.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan Melaka perlu memikirkan kaedah terbaik bagi menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Melaka dan memilih untuk menginap di negeri ini.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, ia penting dalam usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pendapatan di sektor pelancongan negeri.

Menurutnya usaha tersebut merupakan satu cabaran bagi kerajaan negeri memandangkan kebanyakan pelancong yang berkunjung hanya memilih untuk balik hari dan tidak bermalam di sini.

"Ramai pelancong yang datang ke Melaka tidak menginap di negeri ini dan mereka hanya balik hari sahaja. Ini merupakan satu cabaran kepada kerajaan negeri supaya dapat meningkatkan kadar penginapan, jadi kita kena memikirkan kaedah agar mereka boleh membuat keputusan untuk bermalam di sini.

"Kita perlu melihat semula produk-produk pelancongan sedia ada yang boleh dinaik taraf dan memikirkan pakej-pakej lebih menarik bagi memastikan pelancong yang berkunjung ke Melaka dapat tinggal lebih daripada sehari," katanya kepada pemberita ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di sini.

Menurut Poay Tiong, berdasarkan kajian purata penginapan berbayar oleh Tourism Malaysia (TM) jumlah penginapan hotel di negeri ini untuk tempoh Januari hingga September 2018 bagi pelancongan domestik dan antarabangsa adalah seramai 3.3 juta.

Jelasnya berdasarkan statistik jumlah penginapan hotel di negeri ini juga meningkat setiap tahun.

Pada 2015 (4.5 juta), 2016 (4.6 juta) dan 2017 (4.7 juta).

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan kajian dibuat oleh kerajaan Melaka, jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini adalah seramai 17 juta tahun lalu sedangkan jumlah penginapan hotel hanya sekitar 4.8 juta, ia sekali gus memberi maksud ada ruang yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan jumlah pelancong yang penginap di Melaka," katanya.

Poay Tiong yang juga Pengerusi Majlis Penasihat Bandar Pintar (Smart City) berkata, beliau juga akan memberi penumpuan terhadap aspek ke arah bandar pintar dengan mengumpulkan semua agensi pelancongan di negeri ini untuk mengenal pasti kaedah berkesan bagi tujuan tersebut.

"Antara langkah, kita akan menambahbaik aplikasi pelancongan sedia ada agar lebih mesra pengguna dan menarik bagi membantu menyediakan sebarang maklumat pelancongan khususnya kepada produk-produk sedia ada dan terbaharu.

"Selain itu kerajaan negeri juga akan mengambil pendekatan untuk mengadakan pertemua dengan pemain-pemain industri pelancongan beberapa negara khususnya dari China bagi memperkenalkan pakej menarik yang boleh memastikan mereka tinggal lebih lama di negeri ini," katanya.