Kematian pekerja: Dua pengarah syarikat mengaku salah

Kim Kuan dan Wai Chew
Kim Kuan dan Wai Chew
A
A
A

IPOH - Dua pengarah syarikat mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan gagal menyediakan prosedur keselamatan hingga mengakibatkan kecederaan dan kematian pekerja di tempat kerja masing-masing

Teoh Kim Kuan, 46, dan Ng Wai Chew, 51, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, S Indra Nehru.

Berdasarkan pertuduhan, Kim Kuan daripada sebuah syarikat pembinaan didakwa gagal memastikan setiap lubang pit pada tingkat bekerja ditutup dengan rapat, sekali gus menyebabkan kemalangan maut terhadap pekerja syarikat berkenaan, Sajib Ahmmud Dulal di tempat pembinaan berkenaan pada 24 Disember 2018.

Pada tuduhan berasingan, Wai Chew pula didakwa gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja sehingga menyebabkan kemalangan terhadap Chan Myae Aung di No. 31, Persiaran Industri Lahat 7, Lahat di sini pada 28 Ogos 2018.

Kedua-dua pengarah syarikat berkenaan didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 10(e) Akta Kilang dan Jentera 1967 dan Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Hanisah Ahmad manalaka Kim Kuan dan Wai Chew tidak diwakili peguam.

Hakim Mahkamah Syesyen, S Indra Nehru kemudiannya menangguhkan keputusan hukuman terhadap mereka dan menetapkan 18 Jun 2019 depan sebagai tarikh hukuman dijatuhkan.

Artikel Berkaitan: