Tumpang kereta orang mahu berbuka puasa bersama Agong

Foto Bernama
Foto Bernama
A
A
A

RAUB - Peluang berbuka puasa bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menjadi kenangan tersendiri buat warga emas Raub, Mahayuddin Abdullah, yang jelas tidak berhenti tersenyum apabila diminta ‘bercerita’ mengenainya.

Mahayuddin, 66, yang berasal dari Kampung Gali di sini berkata, dia dan rakannya Mat Soad Duhsan, 65, bertolak dari rumah mereka seawal jam 4 petang, kerana perlu 'menumpang kereta orang' untuk ke majlis yang diadakan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

"Bukan senang untuk berbuka puasa dengan Sultan... dahulu semasa muda, kami pernah juga menghadiri majlis berbuka puasa dengan Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah (ayahanda kepada Sultan Abdullah).

"Seronok bila tradisi ini diteruskan. Kami dapat tahu (tentang majlis ini) daripada orang kampung.

"Sultan Abdullah benar-benar menurun sifat Almarhum Sultan Ahmad Shah. Kami sengaja berdiri di laluan masuk khemah makan dengan harapan dapat bersalaman dengan Sultan Abdullah

"Cara baginda menegur, memang sama dengan cara ayahandanya bila bertemu rakyat," katanya.

Terdahulu, Sultan Abdullah berkenan mencemar duli untuk berbuka puasa bersama-sama hampir 3,000 penduduk Raub di masjid itu, yang turut dihadiri Tengku Puteri Seri Teja Pahang, Tengku Datuk Muhaini Sultan Ahmad Shah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; dan ADUN Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin.

Pada majlis itu, seramai 395 penerima terdiri daripada golongan asnaf, anak yatim dan pelajar maahad tahfiz dari Raub turut menerima sumbangan wang tunai serta barangan keperluan, yang disampaikan Sultan Abdullah dan Tengku Muhaini.

Artikel Berkaitan:

Penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Afzan di sini, Nurul Syahirah Sahar, 17, berkata, dia mahu menggunakan sumbangan itu untuk membeli baju raya untuk ibunya, Siti Hajar Mahmud, 52, yang masih tidak mempunyai baju baharu.

"Saya sudah ada sepasang baju kurung yang dibeli menggunakan wang sumbangan orang... cukuplah untuk saya. Sekurang-kurangnya saya dan ibu boleh ke masjid dengan baju baharu tahun ini," kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Pelajar Maahad Tahfiz Azizurrahman di sini, Ubay Azli, 15, pula berhasrat membeli kelengkapan asrama dengan menggunakan wang itu, kerana keluarganya sudah membuat persiapan hari raya.

Katanya, sumbangan itu membolehkan dia yang merupakan anak kelima daripada tujuh beradik, tidak perlu meminta wang saku daripada orang tua untuk beberapa bulan, sekali gus meringankan beban kewangan keluarga.- Bernama