Ops Khas Motosikal: JPJ keluar 112 saman

Mohamat Johari melekatkan pelekat kempen keselamatan jalan raya pada sebuah bas bersempena dengan Ops Hari Raya Aidilfitri semalam.
Mohamat Johari melekatkan pelekat kempen keselamatan jalan raya pada sebuah bas bersempena dengan Ops Hari Raya Aidilfitri semalam.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 112 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Motosikal yang diadakan di negeri ini malam tadi.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Mohamat Johari Mat Nor berkata, antara kesalahan tertinggi yang dikesan adalah cukai jalan serta insurans perlindungan diri tamat tempoh iaitu sebanyak 62 saman dan tidak memiliki lesen menunggang motosikal yang sah iaitu 28 saman.

Selain itu, antara kesalahan lain yang turut diambil tindakan ialah lesen tamat tempoh, tidak melekatkan pelekat P dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Mohamat Johari berkata, operasi bersepadu yang dijalankan serentak seluruh negara ini turut mendapat kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan yang lain seperti pasukan trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

"Dalam Operasi ini, JIM telah menahan tiga penunggang motosikal warga Bangladesh yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala JAS pula telah memeriksa 12 kenderaan dan 11 daripadanya telah diambil tindakan saman kerana tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan selain motosikal mengeluarkan bunyi yang terlalu bising," katanya.

Beliau ditemui pada sidang media bersempena Ops Hari Raya Aidilfitri 2019.

Hadir sama pada sidang media berkenaan, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Pulau Pinang M Thurkahthevi.

Mengulas mengenai Ops Hari Raya Aidilfitri 2019, Mohamat Johari berkata, operasi yang bermula 29 Mei sehingga 13 Jun depan akan melibatkan seramai 178 anggota dan penguat kuasa.

Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, pihaknya mengambil beberapa pendekatan seperti mengadakan rondaan di lebuh raya dan jalan utama serta negeri, penyamaran sebagai penumpang bas ekspres selain akan menggunakan kamera pada kenderaan penguat kuasa bagi merekodkan kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini diadakan bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan sekali gus ia akan dapat mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya," katanya.

Dalam pada itu, Mohamat Johari berkata, AADK dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik PDRM akan membuat pemeriksaan secara rawak dan ujian saringan air kencing terhadap pemandu bas di dua terminal bas di negeri ini.

Katanya, sepanjang operasi ini dijalankan pihak Narkotik PDRM telah mengesan seorang pemandu bas yang positif dadah jenis methamphetamin.