Mukhriz sedia beri kerjasama kepada SPRM

Mukhriz (dua dari kiri) selepas gimik pelancaran Jualan Harapan Rakyat Pra-Syawal peringkat negeri, yang diadakan di Pasar Tani Taman Wira Mergong.
Mukhriz (dua dari kiri) selepas gimik pelancaran Jualan Harapan Rakyat Pra-Syawal peringkat negeri, yang diadakan di Pasar Tani Taman Wira Mergong.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berhubung siasatan yang dilakukan terhadap sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, semua GLC di Kedah bebas untuk disiasat kerana pihaknya juga mahu kebenaran didedahkan.

Menurutnya, pihaknya tidak akan sesekali menghalang siasatan, sebaliknya akan memberi kerjasama sebaik mungkin agar kes berkenaan disiasat dengan telus.

“Sehingga kini, saya tidak dipanggil oleh SPRM untuk mendapatkan maklumat berkaitan, saya juga tak pasti sama ada kalangan pegawai kerajaan negeri sudah dipanggil untuk berikan kerjasama.

Buat masa ini, saya tiada makluman terperinci,” katanya selepas melancarkan program Jualan Harapan Rakyat Pra-Syawal peringkat negeri dan jualan jimat belanja Aidilfitri Fama, di Pasar Tani Taman Wira Mergong, hari ini.

Pada 27 Mei lalu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mendedahkan, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap pengurusan tertinggi sebuah syarikat GLC berhubung kes tuntutan palsu mencecah nilai jutaan ringgit.

Mukhriz berkata, pihaknya terbuka pada sebarang siasatan oleh SPRM memandangkan kerajaan negeri mengutamakan pentadbiran yang telus dan bersih.

“Kita sebolehnya tak mahu perkara seumpama ini berlaku, sebab itu kami tak akan halang. Kebiasaan, kes dalam siasatan SPRM tidak perlu maklumkan kepada kerajaan negeri, jadi biarlah mereka siasat saja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi PH Kedah itu juga yakin kes terbabit tiada kaitan dengan kerajaan PH, dan tidak menolak kemungkinan dilakukan bawah kerajaan terdahulu.

“Saya tak fikir dalam tempoh setahun mentadbir, ia berlaku dalam kerajaan sekarang, agaknya mungkin kerajaan terdahulu. Apa pun, saya menantikan laporan sekiranya SPRM mahu sampaikan kepada pihak kami,” katanya.