Beri zakat: Kenapa sekarang baru nak pertikai?

Kasthuriraani (tengah) turut bersama penduduk dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkan di dalam masjid serta surau.
Kasthuriraani (tengah) turut bersama penduduk dalam majlis berbuka puasa yang dianjurkan di dalam masjid serta surau.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - "Sudah tujuh tahun saya hadir dan anjurkan majlis penyampaian bantuan zakat, kenapa baharu sekarang nak pertikai?

Itu reaksi Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani Patto apabila beberapa pihak sebelum ini yang mempertikaikan tindakannya menyampaikan bantuan zakat kepada asnaf di dalam kawasannya.

Kasthuriraani berkata, program agihan bantuan zakat ini adalah program tahunan yang dianjurkan oleh pejabatnya dan beliau menjadi perantara di antara Zakat Pulau Pinang (ZPP) dalam mendapatkan bantuan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Menurutnya, selama tujuh tahun ini, sebanyak 2,100 hamper zakat telah diagihkan kepada semua asnaf yang layak di Parlimen Batu Kawan mengikut kutipan nama yang diberikan oleh kariah masjid serta surau, pemimpin tempatan seperti Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

"Sebelum ini, tidak banyak yang menjadikannya isu.Tapi sekarang kenapa isu ini dipermainkan?" katanya ketika dihubungi di sini.

Kasthuriraani berkata, program yang diadakan itu memberi peluang kepadanya untuk bertemu dengan lebih dekat dengan penduduk selain dapat meluangkan masa untuk bertanya khabar dengan penerima bantuan ini yang kebanyakannya ibu dan bapa tunggal, warga emas, pesakit terlantar serta OKU.

Beliau ada berbincang mengenai bantuan lanjut sama ada dari pejabat Ahli Parlimen atau daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau ZPP sendiri.

Mengulas mengenai gambarnya menyampaikan bantuan zakat yang tular sebelum ini, Kasthuriraani berkata, beliau tidak menyampaikan bantuan zakat itu berseorangan malah pengerusi dan jawatankuasa kariah masjid itu turut bersama dalam majlis berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau dijemput untuk menyampaikan bantuan itu kepada asnaf berikutan pejabatnya telah menaja majlis berbuka puasa dan moreh di masjid berkenaan.

"Tidak pernah saya berkeras atau berdegil mahu mengagihkan bantuan ini di masjid atau surau. Selalunya ia dilakukan dengan jemputan serta kebenaran dari pemimpin surau dan masjid.

"Lokasi majlis penyampaian bantuan itu pula diadakan dengan keizinan pihak pengurusan masjid dan surau lebih-lebih lagi sekiranya kawasan itu tidak mempunyai dewan," katanya.

Kasthuriraani berkata, bagi menjaga kesucian masjid sebagai tempat ibadat umat Islam beliau menghormati dengan mematuhi adab berpakaian di dalam masjid.

ARTIKEL BERKAITAN: Agih zakat: ZPP, MAINPP perlu ambil tindakan tegas

Terdahulu, Ahli Lembaga Pengarah Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) perlu mengambil tindakan serius mengenai isu pemimpin dan wakil rakyat bukan Islam terlibat dalam penyampaian zakat kepada asnaf.

Ketua Pemuda Pas Kawasan Batu Kawan, Mohd Kamil Ab Halim berkata, walaupun isu berkenaan telah dibangkit sebelum ini namun masih ada pemimpin dan wakil rakyat bukan Islam yang tidak ambil peduli dan menunjukkan mereka seperti tidak menghormati istitusi Islam di negara ini.

Menurutnya, merujuk keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan pada 10 Mei 2001, orang bukan Islam tidak boleh sama sekali dilantik menjadi amil iaitu mengutip, mengurus dan mengagihkan zakat.