Ini punca rakyat terus tagih 'duit percuma'

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Keadaan ekonomi yang terlalu mendesak khususnya bagi rakyat yang berpendapatan rendah menjadi faktor golongan itu masih mengharapkan ‘duit percuma’ daripada kerajaan.

Penganalisis Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana lebih 60 peratus daripada isi rumah rakyat di negara ini mempunyai pendapatan kurang daripada RM2,500 sebulan.

Katanya, adalah tidak wajar mengatakan rakyat di negara ini hanya mengharapkan bantuan dan duit percuma semata-mata tanpa mengambil kira kepayahan yang terpaksa ditanggung golongan itu.

“Realitinya rakyat di negara ini sudah lama hidup di luar kemampuan mereka disebabkan gaji tidak naik-naik sejak 2010 lagi, sedangkan kos barang-barang termasuk makanan dan pakaian meningkat dengan jumlah yang besar.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada 'duit percuma' punca rakyat tak suka kerajaan

“Rakyat Malaysia juga bukan sangat malas (untuk tambah pendapatan) tetapi situasi mereka hari ini berada pada tahap lemas dan hampir tenggelam. Mereka bukan suka-suka hendakkan duit percuma kerana mereka juga punyai harga diri.

“Dahulunya ada Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai pelampung tetapi apabila inisiatif itu tidak lagi diperkenalkan oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) ia membuatkan rakyat terkapai-kapai,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kerajaan PH tidak begitu disukai sesetengah rakyat kerana tidak meneruskan amalan pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memberi ‘duit percuma’.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dasar kerajaan baharu yang banyak menghapuskan bantuan khusus untuk golongan berpendapatan rendah juga turut memberi tekanan kepada rakyat.

“Sejak kerajaan baharu (PH) mengambil alih negara tidak ada pembaharuan yang diperkenalkan untuk menggantikan pemberian yang dihapuskan (seperti BR1M) keadaan ini memberi lebih tekanan kepada rakyat. Mereka berpandangan kerajaan yang sepatutnya menolong rakyat bukan membebankan lagi mereka,” katanya.

Bagaimanapun Barjoyai tidak meletakkan kesalahan sepenuhnya kepada kerajaan baharu kerana sedar tekanan dan masalah yang dihadapi ketika ini.

“Kerajaan PH masih lagi baharu dan banyak lagi perkara yang perlu diperbetulkan tetapi dalam masa yang sama kerajaan perlu memberi fokus lebih serius untuk bantu ekonomi golongan berpendapatan sederhana.

“Justeru kerajaan perlu cepat kemukakan cadangan tentang bagaimana hendak rombak ekonomi yang boleh memberi harapan baharu kepada rakyat,” katanya.