Baju raya hipster cemar budaya

A
A
A

MENJELANG sambutan hari raya pelbagai baju dengan penampilan fesyen terbaharu berada di pasaran. Seperti kebiasaan bagi lelaki mengikut tradisinya akan memilih dan membuat baju raya cekik musang atau teluk belanga dengan pelbagai warna.

Inilah keunikan baju Melayu yang sesuai dipakai terutamanya menyambut hari raya dan majlis tradisi seperti jemputan kenduri kahwin atau kegunaan di majlis keagamaan.

Bagi golongan tua pula, mereka gemar memilih jubah kerana lebih santai dan mudah. Pemakaian jubah masa kini menjadi trend anak muda sama ada berlengan panjang atau pendek.

Namun seperti tahun-tahun sebelumnya wujud pula baju raya hipster yang dianggap 'mencolok mata' kerana bertentangan dengan nilai dan tradisi baju Melayu. Kecenderungan beberapa orang pereka fesyen yang cuba mencari kelainan sebenarnya telah mencemar budaya dan adat Melayu menyambut hari raya.

Mungkin kerana terlalu obses dengan trend masa kini sehingga sanggup merosakkan budaya turun-temurun.

Namun yang lebih membimbangkan jika baju berkenaan berada di pasaran sudah tentu ada pembeli dan peminatnya. Bagi sesetengah pihak, sentuhan moden yang diberikan ke atas baju Melayu itu dianggap lebih segar, lebih cantik dan mengikuti peredaran zaman.

Namun jika tidak dikawal dan diambil perhatian, tindakan begini sebenarnya lambat laun menghakis tradisi nenek moyang yang menjadi kebanggaan warisan bangsa.

Ditambah pula dengan kemunculan fesyen 'jubah sado' sempena hari raya yang baru-baru ini menimbulkan pelbagai reaksi boleh mengancam warisan pakaian tradisional Melayu.

Artikel Berkaitan:

Maka munculIah idea-idea yang mungkin dicedok daripada rekaan luar negara yang tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat kita. Kemunculan fesyen jubah moden atau 'jubah pahlawan' mengundang kritikan pelbagai pihak.

Di mana pejuang budaya dan pihak berwajib agar fesyen seperti ini dapat dibendung dan dihalang demi menjaga tradisi dan maruah bangsa? Sudah sampai masanya pihak berkuasa perlu masuk campur tangan membendung pencemaran fesyen.

Kalau Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab terhadap pencemaran bahasa, siapa pula yang perlu memantau pencemaran budaya dan pakaian tradisional warisan bangsa?

Selain itu, fesyen kurta yang bukan milik tradisi Melayu terus dipromosikan sempena hari raya. Fesyen bercirikan budaya India sebenarnya tidak sesuai pada Aidilfitri. Kemunculan pakaian moden dengan pengaruh luar seperti kurta akan melunturkan identiti pakaian tradisional.

Ironinya, banyak bangsa yang maju di dunia masih mengekal dan memupuk pakaian tradisional mereka. Bangsa Jepun, China, Korea masih mengekalkan pakaian tradisi mereka malah menjadikan pakaian ini sebagai ikon yang dibanggakan.

Begitu juga, British, Irish dan negara barat lain, tidak mencampur adukkan pakaian tradisi mereka dan terus disanjung terutama apabila menyambut keraian dan ritual.

Namun di Malaysia, semakin tahun demi tahun nampaknya pereka fesyen yang tidak bertanggungjawab secara bebas terus menampilkan pengubahsuaian dan pembaharuan baju raya yang sebenarnya telah mencemar dan merosakkan keaslian makna dan simbolik Melayu melalui pemakaian.

Jika kita tidak mengawal dan membedung anasir luar yang diterap dalam budaya kita, memungkinkan suatu hari nanti generasi Melayu akan datang tidak lagi mengenali pakaian tradisional dan identiti budayanya sendiri.

Jangan terperanjat apabila generasi akan datang tidak berpeluang lagi menggayakan pakaian tradisional mereka kerana dilambakkan dengan pakaian rekaan moden.

Pihak media khususnya televisyen, majalah dan akhbar sepatutnya perlu bertindak sebagai gate keeper agar fesyen yang mencemari budaya Melayu tidak disiarkan.

Janganlah mengajar laba dan keuntungan periklanan, sehingga mengorbankan nilai dan budaya berpakaian tradisi. Kalau tidak kita sebagai bangsa Melayu, siapa lagi yang akan berjuang dan mengekalkan nilai, norma dan budaya sendiri.

Fikir-fikirkan.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara