Malaysia, Indonesia kerjasama selamat baka badak sumbu Sumatera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Malaysia dan Indonesia bakal menjalinkan kerjasama bagi menjayakan program pembiakan badak sumbu Sumatera sebagai usaha memelihara jenis haiwan berkenaan yang kini hidup di Sabah.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, kerjasama itu dijangka dapat dilakukan menjelang hujung tahun ini demi menyelamatkan baka badak sumbu berkenaan daripada terus mengalami kepupusan.

“Badak sumbu Sumetara yang ada di Malaysia sekarang ini tidak lagi mampu menghasilkan baka baharu. Oleh itu, kerajaan akan berusaha untuk mendapatkan atau menyelamatkan jenis haiwan berkenaan.

“Kami difahamkan, hanya tinggal seekor saja lagi badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini jadi kerajaan perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk memeliharanya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan World International Students Public Welfare Media Art Exhibiton 2019 anjuran Kolej Damansara Utama (KDU) Kampus Glenmarie, di sini hari ini.

Pada Isnin lepas, badak sumbu Sumatera jantan terakhir di Malaysia mati berkemungkinan usianya yang lanjut iaitu 35 tahun menyebabkan berlakunya pelbagai kegagalan organ.

Tambah Tengku Zulpri, kerajaan juga dalam usaha menyelamatkan harimau belang yang direkodkan hanya berjumlah kurang daripada 200 ekor dalam hutan di seluruh negara. Katanya, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membanteras kegiatan pemburu haram yang menceroboh hutan simpan di negara ini.

“Kami sudah lancarkan Ops Belang bagi membanteras pemburu haram yang menangkap haiwan ini dan kami juga akan berkerjasama dengan tentera dan polis untuk turut serta operasi dalam hutan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: