Beri ruang masyarakat luar bandar fahami larangan merokok

Gambar hiasan
A
A

GOPENG - Tindakan melanjutkan tempoh penguatkuasaan pendidikan di premis makanan sebagai kawasan larangan merokok sehingga Disember ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada orang ramai memahami peraturan tersebut dengan jelas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, terdapat segelintir masyarakat terutamanya yang tinggal di luar bandar dan kawasan pedalaman tidak mengetahui mengenai peraturan berkenaan.

"Daripada segi tahap pendidikan (masyarakat luar bandar), ia belum begitu memahami berhubung peraturan larangan merokok di premis makanan.

"Jadi kita memberi ruang yang lebih untuk memberi pendidikan kepada mereka yang masih belum sedar dan masih tidak mematuhi peraturan tersebut," katanya kepada pemberita di Pusat Khidmat Anggota Parlimen Gopeng di sini, hari ini.

Ditanya mengenai tahap keberkesanan larangan itu, Dr Lee yang juga Ahli Parlimen Gopeng berkata, menerusi maklum balas yang diterima, pihaknya mendapati aktiviti penguatkuasaan itu mendatangkan hasil kerana golongan perokok mulai sedar tentang larangan berkenaan.

"Walaupun bukan 100 peratus, mereka yang merokok dengan sendiri keluar dari premis makanan untuk merokok dan kembali semula (premis makanan) apabila selesai merokok

"Jadi, ini satu perkembangan yang positif dan kita akan teruskan usaha supaya penguatkuasaan merokok ini berkesan," katanya.

Pada April lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelanjutan tempoh itu dibuat bagi membolehkan kerajaan meningkatkan usaha membantu orang ramai berhenti merokok kerana memahami kesukaran mereka berbuat demikian.

Dzulkefly berkata larangan merokok yang bermula sejak 1 Jan lalu dan ditetapkan berakhir Julai depan dilanjutkan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan yang terbabit dengan larangan.

Dalam perkembangan lain, Dr Boon Chye berkata, sejumlah RM530,000 diperuntukkan bagi kerja-kerja menaik taraf jalan persekutuan sepanjang 22 kilometer yang bermula dari Gopeng ke Kampar.

Katanya, kerja-kerja menaik taraf itu turut melibatkan penyelenggaraan lampu jalan, mengecat jalan dan penggantian papan tanda yang rosak di sepanjang jalan tersebut yang mana masalah itu berlarutan sejak sepuluh tahun lalu.

"Sebanyak RM350,000 peruntukan disediakan oleh Anggota Parlimen Kampar (Thomas Su Keong Siong) manakala selebihnya (peruntukan) daripada saya sebagai Ahli Parlimen Gopeng," katanya. - Bernama