Hotel Permai konsisten anjur World #QuranHour setiap tahun

Sebahagian daripada peserta World #QuranHour di Hotel Permai.
Sebahagian daripada peserta World #QuranHour di Hotel Permai.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penganjuran program World #QuranHour setiap tahun memberi peluang kepada umat Islam untuk menghayati kehebatan dan rahmat yang terkandung dalam al-Quran.

Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman berkata, tidak mahu ketinggalan untuk bersama-sama memburu pahala Ramadan, pihaknya secara konsisten menganjurkan program berkenaan setiap tahun.

Menurutnya, pada tahun ini, pihaknya berjaya mengumpul kira-kira 100 peserta untuk bersama-sama membaca al-Quran dan bertadabur.

“Saya melihat program yang diinisiatifkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) ini satu usaha murni untuk memupuk nilai kehidupan berlandaskan kepada ajaran Al-Quran, sekali gus sebagai satu usaha untuk meningkatkan kemampuan diri selari dengan isi kandungan ajaran kitab.

“Ia berjaya menyatu-padukan umat Islam di seluruh dunia dengan membaca, menghayati dan memahami kandungan ayat suci Al-Quran secara serentak walaupun dalam ruang masa yang berbeza,” katanya.

Para peserta bersama-sama membaca dan tadabbur al-Quran.
Para peserta bersama-sama membaca dan tadabbur al-Quran.

Selain daripada kakitangan Hotel Permai, program yang berlangsung selama satu jam itu turut dihadiri wakil-wakil dari Terengganu Inc., Hotel Primula, Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, TDM Berhad dan Aman Palestin.

Surah pilihan pada program kali ini ialah Surah Al-Kahf dan bacaan diketuai oleh Ustaz Che Mohd Fakhrul Rozi sementara tazkirah pula disampaikan oleh Imam Besar Negeri, Ustaz Aizi Saidi Abdul Aziz.

“Kami harapkan dengan kefahaman daripada Surah Al-Kahf ini, dengan izinNya ia mampu menjadi benteng pertahanan yang kukuh dalam menangkis pelbagai dugaan dalam menjalani kehidupan seharian.

Artikel Berkaitan:

“Bertitik tolak daripada kefahaman itu juga, ia mampu menjadikan proses transformasi diri secara berterusan, seterusnya membentuk sebuah negara berbudi dan penyayang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!