Kes solar: Rosmah, Rizal dibicarakan bersama tahun depan

Rosmah, Rizal
Rosmah, Rizal
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes rasuah membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor dan Datuk Rizal Mansor berhubung projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan dibicarakan bersama, demikian diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, supaya kes tersebut didengar di mahkamah sama.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini memerintahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Rosmah, yang juga isteri bekas perdana menteri, Datuk Seri Seri Najib Tun Razak, didengar secara bersendirian.

Dalam penghakiman, Mohamed Zaini berkata kes pengubahan wang haram dan kes rasuah tidak cukup untuk memenuhi kriteria Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah (CPC) untuk dibicarakan bersama.

“Berdasarkan tuduhan dalam kes solar dan pengubahan wang haram, saya berpendapat ia tidak cukup untuk memenuhi kriteria Seksyen 165 CPC.

“Oleh itu, saya mengarahkan kes pengubahan wang haram yang dihadapi Rosmah dibicarakan secara bersendirian manakala kes solar melibatkan Rosman dan Rizal telah memenuhi kriteria untuk dibicara bersama,” katanya.

Seksyen 165 CPC adalah mengenai perbicaraan lebih daripada satu kesalahan.

Mohamed Zaini menetapkan kes solar membabitkan Rosmah dan Rizal, yang juga bekas bekas pegawai khas kepada Najib, dibicarakan selama 32 hari kecuali Jumaat pada tahun depan dan pendakwa akan mengemukakan 17 saksi.

Artikel Berkaitan:

Tarikh perbicaraan kes solar ditetapkan bermula 3 hingga 6 Feb, 13-17 Feb, 9-12 Mac, 6-9 April, 13-16 April, 20-23 April dan 27-30 April sementara pengurusan kes ditetapkan 6 Jan depan.

Kes pengubahan wang haram yang dihadapi oleh Rosmah akan berlangsung selama 20 hari bermula

11 hingga 14 Mei, 18-21 Mei, 29 Jun-2 Julai, 6-9 Julai, dan 13 hingga 16 Julai.

Bagaimanapun, Rosmah tidak hadir pada prosiding hari ini.

Terdahulu, Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa Rosmah telah mengambil cuti sakit selama seminggu dan ubat yang diambilnya membuatkan dia merasa mengantuk.

Pada 4 Okt tahun lalu, Rosmah, yang diwakili peguam Manjeet Singh Dhillon dan Datuk K. Kumaraendran, mengaku tidak bersalah atas 12 tuduhan berhubung pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN).

Pada 15 Nov tahun lalu, Rosmah, 67, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Dalam pada itu, Rizal turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi pihak Rosmah berhubung projek solar tersebut.

Dia turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Suapan tersebut adalah sebagai upah membantu syarikat Jepak Holdings Sdn Bhd mendapatkan projek sistem solar tersebut bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus. - Bernama