Bekerja bukan penghalang sertai World #QuranHour

Peserta yang hadir merakamkan gambar kenangan selepas program World #QuranHour di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap, di sini hari ini.
A
A

KUANTAN - World #QuranHour yang dilaksanakan serentak di seluruh dunia, hari ini, tidak menjadi penghalang bagi masyarakat yang bekerja untuk menyertainya demi membudayakan al-Quran dalam kehidupan mereka.

Salah seorang peserta, Aziz Ibrahim, 55, berkata, dia sungguh teruja apabila mengetahui World #QuranHour akan diadakan berdekatan masjid di rumahnya walaupun dia perlu bekerja hari ini.

Namun, dia yang melakukan perniagaan sendiri itu mengambil kesempatan meluangkan masa menyertai program berkenaan bagi mendekatkan dirinya dengan al-Quran yang menjadi iktikaf buat dirinya sepanjang Ramadan.

“Walaupun hari ini saya bekerja, tapi saya tetap ambil kesempatan sertai World # QuranHour sebab boleh mengaji ramai-ramai dengan orang kampung yang hadir. Saya tak boleh lepaskan kerana program ini hanya setahun sekali saja.

“Selain itu, inilah sahaja bulan yang penuh dengan manfaat yang saya dapat niat iktikaf di masjid,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Program World # QuranHour Peringkat Negeri Pahang di Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap, di sini hari ini.

Tengku Asidah Tengku Kadir
Tengku Asidah Tengku Kadir

Turut hadir, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; Penyelaras Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Mohd Rozamli Mohd Razak dan Pengerusi Masjid Sultan Ahmad Shah, Datuk Sharafuddin Isa Osman.

Sementara itu, bagi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Kuantan, Tengku Asidah Tengku Kadir berkata, program ini tidak menjadi penghalang malah memberi peluang buat diri dan ahli-ahlinya untuk menyertai World #QuranHour.

“Saya sudah tiga tahun menyertai World #QuranHour dan tahun ini saya teruja kerana ramai ahli WI buat perkara yang sama," katanya.

Sementara itu, Sharafuddin berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan daripada masyarakat amat menggalakkan yang membuktikan umat Islam di daerah ini sudah mula mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Kita menjangkakan hanya 300 yang hadir namun saya lihat hari ini luar biasa menjangkau kira-kira 500 peserta. Program ini telah menambah kerangsangan masyarakat untuk menghadiri dan membaca al-Quran secara berjemaah.

“Kita mahu jadikan budaya membaca al-Quran seperti orang-orang Arab di mana mereka buka al-Quran di mana-mana saja.

“Diharap pihak penganjur akan sentiasa mengadakan program ini secara berterusan dan saya amat berterima kasih atas usaha yang telah dilaksanakan dan diharap boleh lagi berkolaborasi demi membudayakan al-Quran kepada masyarakat di kawasan ini,” katanya.