Tujuh peniaga sabotaj MPSJ akan dibatal lesen

MUHAMMAD AZLI
MUHAMMAD AZLI
A
A
A

SUBANG JAYA - Tujuh peniaga dari dua pasar malam di Taman Bukit Kuchai dan Sri Serdang akan dibatalkan lesen perniagaan selepas didapati melakukan sabotaj terhadap Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) termasuk menyalahgunakan nama peniaga lain untuk tujuan salah.

Pengarah Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, tindakan tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat selepas pihaknya mencapai konsensus dari semua pihak menerusi mesyuarat MPSJ bersama ahli majlis semalam.

Menurutnya, tujuh peniaga berkenaan terdiri daripada dua peniaga di pasar malam di Taman Sri Serdang dan lima lagi merupakan peniaga di pasar malam Taman Bukit Kuchai.

Katanya, perbuatan tujuh peniaga itu semakin ketara selepas MPSJ menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras dan Penggerak Niaga (J3P) di semua pasar malam dan pasar pagi bawah pentadbirannya.

Beliau berkata, menerusi J3P ini wakil peniaga bersama MPSJ bertanggungjawab dari segi pengurusan dan aktiviti di pasar malam serta pasar pagi.

"Bagaimanapun ada beberapa peniaga tidak bersetuju dengan inisiatif yang dibuat oleh MPSJ dan J3P.

"Dalam kes ini, tujuh peniaga terbabit dikesan mendapatkan tandatangan peniaga untuk menghantar memorandum tanpa memaklumkan untuk tujuan apa dan memalsukan beberapa isu serta menggunakan nama peniaga lain," katanya.

Memorandum tersebut meliputi bantahan mereka tentang usul dibuat persatuan peniaga di situ seperti kutipan dana, penyusunan petak niaga dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, MPSJ melakukan soal siasat ke atas nama-nama peniaga lain yang disenaraikan dalam memorandum dan mendapati mereka tidak mengetahui nama digunakan serta mengaku tidak pernah menurunkan tandatangan.

"Peniaga terlibat juga sudah membuat laporan polis kerana tidak berpuas hati nama mereka digunakan tanpa kebenaran.

Selain itu, kumpulan peniaga bermasalah itu turut menghasut peniaga lain supaya tidak mengikut peraturan majlis," katanya.

Muhammad Azli berkata, disebabkan itu, MPSJ melihat tindakan pembatalan lesen niaga adalah tindakan tepat bagi memberi pengajaran supaya mereka hormat dan patuhi peraturan yang dibuat MPSJ.

Beliau berkata, jika peniaga bermasalah ini dibiarkan ia hanya akan memberi impak negatif kepada MPSJ.

Katanya, peniaga bermasalah punya pilihan sama ada mahu bersama dengan MPSJ dengan mematuhi syarat-syarat ditetapkan atau keluar dari kawasan ini.

Difahamkan, jumlah peniaga di pasar malam Tmn Bukit Kuchai adalah seramai 216 orang dan pasar malam Tmn Sri Serdang seramai 151 orang.