Anggota JPJ menyamar jadi penumpang

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin (dua, kanan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi. Ops HRA bermula semalam hingga 13 Jun depan. - FOTO BERNAMA
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Zulkarnain Yasin (dua, kanan) melakukan pemeriksaan terhadap pemandu bas pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2019 di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) malam tadi. Ops HRA bermula semalam hingga 13 Jun depan. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menggerakkan 26 anggota bagi menjalankan tugas penyamaran dalam bas ekspres sempena Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula semalam hingga 13 Jun depan.

Pengarahnya Zulkarnain Yasin berkata, sepanjang tempoh operasi, seramai empat anggota akan menjalankan tugas penyamaran setiap hari melibatkan dua destinasi berbeza bagi perjalanan pergi dan balik.

"Saya nak ingatkan pemandu bas ekspres supaya berhati-hati dan berwaspada kerana kami telah kerah anggota untuk memantau pemanduan anda demi keselamatan orang ramai.

"Mereka akan ambil tindakan terutama bagi kesalahan utama seperti tidak patuh lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan sebagainya," kata Zulkarnain pada sidang media Ops HRA 2019 di Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini malam tadi.

Terdahulu, beliau berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan melalui sistem ke atas 10 syarikat melibatkan 135 bas dan 254 pemandu.

Zulkarnain berkata, daripada jumlah itu, tiga pemandu dikesan memiliki saman tertunggak dan mereka telah disenarai hitam daripada membawa kenderaan berpenumpang.

"Selain itu kami juga menjalankan pemeriksaan ke atas 91 bas di depoh bas utama seluruh negeri dan lima bas dihalang daripada beroperasi kerana masalah cermin bas retak dan kedalaman bunga tayar yang tidak mencapai standard yang ditetapkan.

"Sepanjang Ops HRA, JPJ juga mengerahkan 270 anggota serta pegawai bagi memantau kesalahan jalan raya dan meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada orang ramai," kata Zulkarnain. - Bernama

Artikel Berkaitan: