Ular sawa kekenyangan baham 10 ekor ayam

Anggota wanita APM Padang Terap bersama ular sawa seberat 90kg yang berjaya ditangkap.
Anggota wanita APM Padang Terap bersama ular sawa seberat 90kg yang berjaya ditangkap.
A
A
A

PADANG TERAP - Anggota wanita Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap membuktikan kepakaran mereka dengan berjaya menangkap ular sawa seberat 90kg.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan Mohd Shukri Shuib berkata, reptilia sepanjang 10 meter itu berjaya ditangkap di Kampung Jelutong, Padang Terap, awal pagi ini ketika sedang membaham ayam seorang penduduk.

Katanya, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk jam 2.48 pagi mengenai penemuan ular sawa di dalam reban.

"Penduduk berkenaan mendengar kokokan ayam sebelum pemeriksaan terdapat seekor ular sawa yang sudah kekenyangan selepas menelan 10 ekor ayam miliknya," katanya.

Menurut Mohd Shukri, tiga anggotanya tiba di lokasi pada jam 3 pagi dan mendapati ular sawa berkenaan masih berada di dalam reban berkenaan.

“Anggota mengambil masa kira-kira 40 minit untuk menangkap reptilia itu menggunakan peralatan khas, malah ular berkenaan turut bertindak agresif walaupun sudah kekenyangan.

“Ini adalah ular sawa terbesar dan terpanjang yang pernah ditangkap anggota APM Padang Terap sepanjang tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shukri berkata, ular sawa itu kemudian dibawa ke pejabat APM untuk mendapat perlindungan sementara sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Artikel Berkaitan: