Dahulu dikenali sebagai Kampung Bahagia

Barisan Majlis Pengurusan komuniti Felda Taib Andak.
Barisan Majlis Pengurusan komuniti Felda Taib Andak.
A
A
A

KULAI - Pada awalnya kawasan Felda Taib Andak, di sini hanya ditanam sayur-sayuran oleh masyarakat Cina sebelum dibuka pada tahun 1958.

Ketua Kampung Felda Taib Andak, Rohaizad Abdullah berkata, pada ketika itu, kawasan tersebut dikenali sebagai Kulai Sceme.

Menurutnya, kemudiannya, berek rumah peneroka fasa pertama telah pun dibangunkan.

“Menurut maklumat yang diterima, pada ketika itu ada 65 keluarga yang meneroka kawasan ini. Kebanyakan mereka daripada bekas anggota polis dan tentera. Mereka membina sendiri rumah secara bergotong-royong.

“Pada ketika itu, jalan merah sahaja. Hanya lori balak dan pacuan empat roda yang melalui jalan di sini.

“Dua tahun kemudian, kawasan ini diberi nama Kampung Bahagia. Atas sebab itu dua kemudahan di sini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sinar Bahagia dan Sekolah Agama (SA) Seri Bahagia masih mengekalkan nama Bahagia itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Papan tanda menyambut ketibaan pengunjung ke Felda Taib Andak.
Papan tanda menyambut ketibaan pengunjung ke Felda Taib Andak.

Rohaizad yang lebih dikenali sebagai Tok Lan memberitahu, lebih kurang lima tahun kemudian, 100 lagi keluarga peneroka datang ke kampung berkenaan dan sehingga kini ia menempatkan 780 rumah melibatkan 10,000 penduduk.

Artikel Berkaitan:

“Pada tahun 1978, Pengurus Felda keempat iaitu Tan Sri Taib Andak telah dihantar ke sini dan kemudiannya nama Kampung Bahagia ditukar bersempena nama beliau sebagai menghargai jasanya ke atas tanah rancangan ini.

“Rancangan Felda Taib Andak juga adalah rancangan yang tertua di negara ini dengan tanaman sawit. Kini, selepas lebih 60 tahun, Felda Taib Andak terus berkembang pesat dan termasuk di bawah kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

“Selain itu, kawasan ini turut mempunyai tanaman kontan termasuklah tebu, ubi kayu, pisang dan sayur-sayuran. Selain itu, turut terdapat ternakan lembu dan ayam yang diusahakan penduduk di sini,” katanya.

Tok Lan (tengah) mengacau bubur lambuk dalam satu aktiviti komuniti di Felda Taib Andak
Tok Lan (tengah) mengacau bubur lambuk dalam satu aktiviti komuniti di Felda Taib Andak

Beliau berkata, penempatan tersebut seluas 14.8 hektar turut lengkap dengan pelbagai kemudahan termasuklah masjid, balai polis komuniti, balai raya, dewan raya, surau padang bola dan sebagainya.

“Menariknya felda ini telah melahirkan tiga wakil rakyat iaitu Datuk Zainal Jidin, Ali Mazat Salleh dan Tosrin Jarvanthi yang mana ketiga-tiga merupakan ADUN Bukit Permai termasuk Tosrin yang kini merupakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri.

Sementara itu, seorang penduduk, Saidan Ahmad, 64, memberitahu, dia sempat merasai suasana meneroka di situ kerana bapanya, Ahmad Sidek, 72, yang meninggal dunia lima tahun lalu antara mereka yang terawal menerokanya.

“Walaupun ketika itu baharu berusia empat tahun, saya masih ingat suasananya. Kawasan ini dahulunya hutan belantara, tetapi kami bersama-sama mengusahakan membina rumah.

“Selepas tahun 1976, baharu sahaja penempatan kami dilengkapi elektrik dan ketika itu dapatlah tengok televisyen. Mandi pun hanya air perigi dan sungai,” katanya.