APMM tahan bot nelayan tempatan

Bot nelayan tempatan yang ditahan kerana aktiviti penangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan.
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor menahan sebuah bot nelayan tempatan ketika sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan.

Bot nelayan tersebut dikendalikan oleh tiga awak-awak warga tempatan termasuk tekong berumur 27 hingga 34 tahun.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, aktiviti menunda pukat di kedudukan satu batu nautika barat Pulau Pisang sekitar jam 2.45 petang semalam, berjaya dikesan pihaknya yang sedang melakukan Ops Khas Pagar Laut 2/2019.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap buku lesen bot tersebut juga mendapati bot terbabit pernah dikompaun atas kesalahan yang sama.

Hasil tangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan oleh bot nelayan tempatan yang ditahan APMM Johor
Hasil tangkapan ikan di kawasan tidak dibenarkan oleh bot nelayan tempatan yang ditahan APMM Johor

"Bot dan semua kru ditahan dan diiringi ke jeti maritim Negeri Johor bagi tujuan siasatan. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat lesen.

"Kesalahan boleh dikompaun dan lesen boleh digantung jika disabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, kerjasama semua pihak termasuk persatuan nelayan kawasan dan komuniti nelayan serta semua pengusaha bot nelayan Johor adalah penting bagi membendung aktiviti perikanan yang menyalahi undang-undang.

"APMM amat mengalu-alukan sebarang maklumat pencerobohan dengan cepat dan tepat kepada APMM supaya tindakan segera dan lebih berkesan dapat diambil.

"Sebarang aduan jenayah maritim dan kecemasan di laut hubungan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404 khususnya bagi kejadian yang berlaku di perairan Johor," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia