Tak perlu tukar Maszlee: PM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempertahankan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan dan tidak akan menggantikannya dengan menteri yang baharu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak nampak sebarang masalah yang ditimbulkan Maszlee sepanjang memegang portfolio itu, meskipun bercakap soal kaum, namun tidak bermakna beliau seorang rasis.

“Saya tak nampak apa masalah dengan Maszlee, cuma beliau suruh tukar kasut sekolah kepada warna hitam sahaja, yang lain semua OK.

“Maszlee patut kekal, sebab dia cakap sedikit berkenaan kaum, tak bermakna beliau rasis. Dalam Pakatan Harapan (PH) kita juga ramai bercakap tentang kepentingan kaum masing-masing...yang Cina cakap fasal Cina, yang Melayu cakap fasal Melayu, yang Kadazan cakap soal Kadazan begitu juga kaum-kaum lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu matrikulasi: MPN bersama NGO pendidikan teguh berdiri di belakang Maszlee

“Tetapi mereka semua ialah rakyat Malaysia, kita tak boleh persoalkan bangsa mereka, kaum isu berbeza, kita kena dapatkan sokongan semua, kita cuba dapatkan sokongan Bumiputera memandangkan UMNO dan Pas menggunakan bangsa dan kaum untuk mendapatkan sokongan. Dan kalau kita tidak jelaskan pendirian kerajaan tentang bangsa, saya rasa kita akan kalah pilihan raya," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

Sebelum ini beberapa petisyen dibuat bagi mendesak agar Dr Maszlee meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan.

Baru-baru ini, Maszlee berkata, pihak yang menuntut kelonggaran bagi kuota kaum matrikulasi perlu membangkitkan juga mengenai isu kelayakan mendapat pekerjaan yang tidak adil dan didominasi kumpulan tertentu.

Artikel Berkaitan:

“Kalau kita nak ubah (matrikulasi), kalau kita kata Malaysia baru maka tak perlu kuota dan sebagainya, sebegitu juga kita kena pastikan peluang pekerjaan kepada Bumiputera tak dinafikan semata-matanya kerana mereka tak boleh (berbahasa) Mandarin,” katanya.

Kenyataan Maszlee itu mengundang kritikan beberapa pihak, antaranya Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker; Presiden Gerakan, Datuk Dominic Lau Hoe Chai dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy membawa kepada pelancaran petisyen supaya beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan.