IPSB buka tiga akaun untuk elak kekeliruan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB), Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa syarikat itu membuka tiga akaun berasingan di Affin Bank untuk memastikan wang tidak bercampur aduk.

Semasa diperiksa balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saksi ke-37 itu berkata, ketiga-tiga akaun dibuka atas cadangan Datuk Abdul Aziz Ismail.

"Satu akaun untuk menerima wang, yang kemudiannya dimasukkan ke dalam dua lagi akaun, masing-masing untuk program-program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan perbelanjaan mengurus. Ia dilakukan begitu (untuk memastikan) kami tidak mencampur-adukkan wang itu,” kata beliau.

Saksi berusia 58 tahun itu berkata demikian semasa memberi keterangan pada hari ke-19 perbicaraan Najib, 66, yang menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Ihsan Perdana menerima RM20 juta setahun daripada 1MDB dan RM20 juta lagi setahun daripada YR1M... Kenapa YR1M menyalurkan wang kepada Ihsan Perdana untuk tujuan tanggungajawab sosial korporat sedangkan YR1M sendiri mempunyai program-program CSR?

Shamsul: Ihsan Perdana melaksanakan program-program di kawasan berbeza... bekerja untuk masyarakat luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Sementara itu, membalas cadangan Harvinderjit bahawa syarikat itu bukan syarikat kilat, saksi itu berkata IPSB mempunyai 21 pekerja.

Harvinderjit: Saya mahu hapuskan pandangan ini bahawa IPSB diwujudkan semata-mata untuk menyalurkan wang keluar? Shamsul menjawab "sudah tentu tidak."

Apabila ditanya kenapa rakan kongsi CSR 1MDB menukar namanya daripada Gem Horizon Sdn Bhd kepada IPSB, beliau berkata ia diakukan untuk menjadikannya (nama syarikat) itu 'lebih menarik'.

Artikel Berkaitan:

Harvinderjit: Kenapa kamu menukarnya daripada Gem Horizon kepada Ihsan Perdana?

Shamsul: Kami mahu sesuatu nama yang menarik untuk kerja-kerja CSR. Ihsan adalah amal kebajikan, Gem, ia seolah-olah kami menjual permata (gems).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu bersambung. - Bernama