JPJ Kelantan periksa keselamatan bas ekspres

Che Ibrahim (kiri) memberi penerangan kepada Mahasan (tengah) ketika memeriksa pintu dan tangga kecemasan pada bas ekspres Mutiara hari ini.
Che Ibrahim (kiri) memberi penerangan kepada Mahasan (tengah) ketika memeriksa pintu dan tangga kecemasan pada bas ekspres Mutiara hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Sebanyak 72 bas ekspres telah diperiksa sempena musim perayaan ini untuk memastikan semua kenderaan itu mematuhi spesifikasi ditetapkan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mahasan Mustapa berkata, Pemeriksaan depoh bas telah berlangsung dari 22 hingga 28 Mei melibatkan 72 bas ekspres.

Menurutnya, daripada jumlah itu 69 buah bas telah lulus dan tiga lagi gagal dari spesifikasi seperti brek, tayar, pintu kecemasan, lampu dan sebagainya.

“Bas yang tidak lulus akan diberikan masa dua minggu untuk dibaik pulih sebelum menjalani pemeriksaan semula. Tahun ini kita dapati peratus kegagalan menurun selepas kebanyakan pengusaha bas berusaha untuk mematuhi spesifikasi teknikal seperti ditetapkan.

“Kita mempunyai satu pasukan yang terdiri daripada lima pemeriksa termasuk Puspakom yang akan bergerak menjelajah semua depot untuk memeriksa bas berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas menjalankan pemeriksaan di depot bas Ekspres Mutiara di Panji hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif E- Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan aspek teknikal bas serta keselamatan penumpang.

Katanya, Ekspres Mutiara dipantau secara terus oleh pengeluar bas Scania yang menjalinkan kerjasama dengan pihaknya.

“Musim perayaan ni kita titikberatkan perkara asas khususnya untuk memastikan bas tidak rosak di tengah jalan selain berdoa mengelakkan kemalangan jalan raya. Kami juga mempunyai sistem GPS untuk mengesan kedudukan bas di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

“Dalam masa yang sama kami mempunyai 180 pemandu dilatih oleh Scania untuk mengendalikan sistem pada bas dan Alhamdulillah semua pemandu bas kami bebas dadah selepas pemeriksaan mengejut dijalankan ke atas pemandu,” katanya.