Lelaki maut digilis bas ekspres ketika lintas lebuh raya

Keadaan kereta Perodua Alza dan Toyota Altis yang terlibat kemalangan di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
Keadaan kereta Perodua Alza dan Toyota Altis yang terlibat kemalangan di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pada Jumaat. - Foto ihsan pembaca
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki warga Myanmar maut selepas digilis sebuah bas ekspres ketika melintas jalan di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Jumaat.

Kejadian jam 9.20 malam itu menyebabkan mangsa, Nay Than Soe, 24, digilis sejauh 20 meter dalam kemalangan yang turut membabitkan dua kereta iaitu sebuah Toyota Altis dan Perodua Alza.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Taware berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila Toyota Altis sedang bergerak di lorong paling kanan lebuh raya dari arah Rembau menuju ke arah Setia Alam.

"Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa telah cuba melintas dari arah bahu kiri jalan menuju ke tembok tengah pembahagi lebuh raya di hadapan Toyota Altis.

"Ia menyebabkan kereta dipandu lelaki berusia 42 tahun itu cuba membrek, namun terlanggar mangsa yang mengakibatkannya tercampak ke lorong tengah lebuh raya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, kemudian Perodua Alza yang dipandu lelaki berusia 46 tahun yang berada di lorong tengah dari arah sama telah cuba mengubah haluan ke lorong kiri untuk mengelak mangsa, namun telah dilanggar pula dari arah belakang oleh bas ekspres.

Tambahnya, impak pelanggaran itu telah menyebabkan bas yang membawa 44 penumpang itu hilang kawalan lalu menggilis mangsa sejauh lebih kurang 20 meter di lokasi kejadian.

"Akibatnya mangsa telah mengalami cedera parah di bahagian kepala dan seluruh badan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Kesemua pemandu dan penumpang yang lain tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.

Sementara itu katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau mengenali mangsa atau waris boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479/06-6033222 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.