Peniaga didakwa rasuah inspektor D9

Che Ming mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM5,000 kepada pegawai polis.
Che Ming mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memberi suapan RM5,000 kepada pegawai polis.
A
A
A

IPOH - Seorang peniaga kedai runcit dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan memberi rasuah kepada ejen kerajaan supaya tidak mengambil tindakan menyimpan rokok seludup, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Loo Che Ming, 48, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim S Indra Nehru.

Tertuduh didakwa memberi suapan wang tunai berjumlah RM5,000 kepada Inspektor Afzanizam Mat Isa yang bertugas di Cawangan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas kesalahan menyimpan rokok seludup.

Tertuduh didakwa memberi suapan itu di sebuah kedai runcit di Jalan Kampung Baru, Kampung Baru, Ayer Tawar, Manjung kira-kira jam 10.30 pagi pada 5 Oktober 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda berjumlah tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin meminta mahkamah memberikan jaminan RM30,000 namun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana menanggung lima anak dan kedua ibu bapa berusia 78 dan 85 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.

Artikel Berkaitan: