Sinar Syawal ceriakan 10 keluarga B40

Ismail (empat kanan) bersama rombongan JKM dan Econsave menyerahkan sumbangan Sinar Syawal kepada Che Mah di rumahnya di Kampung Tanjung Musang, Pokok Sena.
Ismail (empat kanan) bersama rombongan JKM dan Econsave menyerahkan sumbangan Sinar Syawal kepada Che Mah di rumahnya di Kampung Tanjung Musang, Pokok Sena.
A
A
A

POKOK SENA - 10 keluarga terpilih dari golongan berpendapatan rendah B40 di sekitar daerah Pokok Sena menerima sumbangan Program Sinar Syawal anjuran bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasar Raya Econsave dan Sinar Harian 2019 hari ini.

Kegembiraan terpancar pada wajah setiap penerima sumbangan apabila kenderaan JKM dan Econsave bersama barangan keperluan harian sampai di hadapan rumah mereka.

Seorang warga emas, Baharom Abu Samah, 85, berterima kasih di atas sumbangan dan perhatian yang diberikan kepadanya sekeluarga sempena Syawal.

Dia yang tidak sihat dan terpaksa bergantung kepada tabung oksigen untuk bernafas tinggal bersama anak lelakinya, Yahaya, 54, yang juga kurang upaya penglihatan.

"Terima kasih kerana sudi datang dan menyampaikan bantuan kepada kami sekeluarga, saya sangat bersyukur," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Kecik di sini.

Perasaan yang sama turut dikongsi seorang warga emas, Che Mah Abdullah, 75, di Kampung Tanjung Musang apabila tidak menyangka akan terpilih untuk menerima satu dari 10 sumbangan dihulurkan pada program yang pertama kali dianjurkan di daerah ini.

Pegawai JKM Pokok Sena, Ismail Zakaria berkata, semua penerima sumbangan tersebut dikenal pasti lebih awal dan mereka dilihat antara yang paling memerlukan perhatian berbanding penerima bantuan bulanan JKM.

Artikel Berkaitan:

Baharom (kanan) syukur menerima kunjungan JKM dan Econsave di rumahnya di Kampung Bukit Kecik, Pokok Sena.
Baharom (kanan) syukur menerima kunjungan JKM dan Econsave di rumahnya di Kampung Bukit Kecik, Pokok Sena.

"Penerima sumbangan terdiri daripada orang kurang upaya, ibu tunggal, warga emas, pesakit kronik dan juga pesakit terlantar. Sempena kehadiran hari raya yang tinggal beberapa hari lagi, kami menyampaikan bantuan bagi menceriakan mereka selain bantuan bulanan yang diterima oleh mereka.

"Kami tidak mampu untuk menyerahkan kepada semua tetapi kami memilih 10 keluarga yang paling memerlukan dalam kalangan keluarga B40. Pada masa hadapan kita mengharapkan agar kerjasama seperti ini bersama Econsave dapat diadakan lagi selain mendapatkan lagi kerjasama dengan pihak lain seperti zakat," katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Pokok Sena, Mohd Syamredzuan Mat Nasir berkata, pelbagai lagi program dirangka dalam usaha membantu dan meringankan beban golongan yang memerlukan selepas ini.

"Pada masa hadapan, kita akan memperbanyakkan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk mendekatkan Econsave dengan masyarakat tempatan.

"Kita akan cuba membantu golongan yang memerlukan dari pelbagai sudut. Kita akan sentiasa hubungi JKM dan agensi kerajaan lain yang memfokuskan kepada bantuan dan khidmat sosial," katanya.