Kerani wanita rugi setengah juta ditipu sindiket Macau Scam

Azizul ketika sidang media di IPD Tanah Merah di sini hari ini.
Azizul ketika sidang media di IPD Tanah Merah di sini hari ini.
A
A
A

TANAH MERAH - Seorang kerani wanita di bandar ini kerugian lebih setengah juta apabila ditipu sindiket Macau Scam di sini sejak April lalu sehingga kelmarin.

Mangsa berusia 40 tahun dikatakan dihubungi seorang wanita yang menyatakan mangsa ada tunggakan bayaran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berjumlah RM24,000.

Panggilan mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lelaki yang kononnya seorang anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPK) Sabah.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Komersial Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, mangsa pada mulanya panik berikutan tidak mengetahui dia ditipu sindiket Scam.

"Sehinggalah mangsa memasukkan sejumlah wang dalam satu akaun kononnya bagi menyelesaikan masalah tunggakan cukai itu.

"Mangsa juga diberitahu jika tidak menyelesaikan hutang itu, asetnya akan dibekukan dan suspek meminta semua wang dimasukkan dalam akaun pegawai penyiasat dan berjanji wang berkenaan akan dikembalikan sebaik siasatan selesai," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Ahmad Azizul berkata, dalam tempoh sebulan, wanita itu telah membuat 12 transaksi bayaran ke dalam akaun yang diminta antara RM10,000 hingga RM38,000, dengan jumlah keseluruhan RM534,000.

Beliau berkata, selepas tiba masa yang dijanjikan wang dikembalikan, suspek terus memberi pelbagai alasan sebelum menyedari mangsa ditipu sebaik menceritakan kejadian kepada ahli keluarga.

Artikel Berkaitan:

Azizul berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Pada tahun ini, sebanyak 37 kes penipuan Macau Scam dilaporkan dengan kerugian membabitkan RM2.2 juta berbanding sepanjang tahun lalu, sebanyak 121 kes dengan kerugian RM10.2 juta.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tidak mudah terpedaya atau tipu helah dari pihak tertentu," katanya.

Azizul turut menegaskan agar orang ramai tidak mendedahkan maklumat kewangan peribadi seperti nombor akaun, kad bank, atau kad kredit kepada orang tidak dikenali.