Peniaga tanpa lesen kena tindakan

Keratan Sinar Harian 17 Mei lalu berhubung isu peniaga tanpa lesen di Jalan Teknologi berhampiran Uptown Kota Damansara.
A
A

PETALING JAYA - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak pernah pilih bulu sebaliknya tetap mengambil tindakan tegas terhadap peniaga tanpa lesen di Jalan Teknologi 3 berhampiran Uptown Kota Damansara di sini.

Penolong Pengarah Komunikasi Korporat MBPJ, Ahmad Iskandar Mohamad Mukhtar berkata pada tahun 2018, sebanyak 28 kompaun penjaja tanpa lesen telah dikeluarkan.

Menurutnya dari jumlah itu juga, sebanyak 28 sitaan telah dilakukan membabitkan lapan peniaga tanpa lesen dan 20 sitaan yang membabitkan kesalahan halangan.

"Manakala bermula dari Januari hingga Mei tahun ini, MBPJ melalui jabatan penguatkuasaan telah mengeluarkan sebanyak 23 kompaun bagi peniaga tanpa lesen dan 11 kompaun melibatkan halangan," katanya.

Beliau berkata, sitaan peniaga tanpa lesen juga telah dilaksanakan membabitkan dua kes halangan dengan 15 notis telah dikeluarkan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan orang ramai dan pemilik restoran berlesen yang tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga tanpa lesen membuka gerai dibahu jalan hingga menyebabkan jalan sesak seperti dilaporkan akhbar ini pada 17 Mei lalu.

Malah tindakan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan dicemari sampah sarap berpunca dari bahan buangan gerai-gerai berkenaan setiap hari.

"Jabatan Penguatkuasaan MBPJ juga mengadakan kawalan statik di kawasan berkenaan pada 13 April hingga 2 Mei yang lalu -2/5/2019 yang lalu," katanya.

Tindakan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Penjaja MBPJ 2007 bagi kesalahan penjaja tanpa lesen. Untuk kesalahan halangan pula tindakan di bawah Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133).