Sultan Perak tidak benar program politik dalam masjid

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan ketegasan baginda terhadap penganjuran program politik di masjid dan surau di negeri ini tanpa kebenaran pihak berkuasa agama negeri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Dato' Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Datuk Abd Rahim Mohamad Nor berkata, baginda menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik turut disembah maklum terdapat pemimpin parti politik yang berceramah tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di dalam masjid.

Menurutnya, Sultan Nazrin menitahkan Ketua Polis Perak, Razarudin Husain; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Mohd Yusop Husin dan Setiausaha MAIPk, Mohd Haidi Sulaiman menghadap baginda untuk disembah maklum mengenai kesahihan aduan yang sampai ke pengetahuan baginda.

"Baginda merumuskan bahawa perkembangan sangat tidak sihat sedang berlaku, berpotensi menjejaskan kesucian masjid dan surau melalui persaingan aktiviti yang semakin rancak dilakukan oleh parti-parti politik baik daripada parti pemerintah, begitu juga parti pembangkang.

"Menggunakan pelbagai alasan seperti khidmat masyarakat, program kebajikan, majlis ilmu, khatam al-Quran, bantuan tetapi pada masa yang sama mempamerkan lambang parti politik masing-masing dalam bangunan dan kawasan masjid dan surau," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Abd Rahim berkata, baginda juga telah menitahkan enam pemimpin parti politik utama di Perak iaitu Menteri Besar Perak yang juga Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria menghadap baginda pada jam 4 petang semalam.

Katanya, dalam sesi tersebut, baginda selaku Ketua Agama Islam Negeri menegaskan pendirian tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dibuat dalam kawasan masjid atau surau di negeri ini.

"Baginda juga menegaskan agar parti-parti politik tidak menjemput penceramah untuk menyampaikan ceramah agama di Perak tanpa terlebih dahulu mendapatkan tauliah berceramah daripada MAIPk.

Artikel Berkaitan:

"Jika program ceramah mahu dianjurkan dalam masjid atau surau, hendaklah terlebih dahulu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama negeri," katanya lagi.

Jelas beliau, baginda menegaskan bahawa masjid dan surau adalah rumah ibadat yang berperanan menyatukan ummah kerana jika dibenarkan program politik menular di dalam masjid dan surau dibimbangi ia akan menjejaskan penyatuan ummah.

Abd Rahim berkata, baginda turut meminta ahli politik memberikan komitmen dan bertanggungjawab memulihara kesucian rumah ibadat umat Islam dari dicemari kegiatan politik berpuak serta berparti.

Sementara itu, katanya, Sultan Nazrin turut menitahkan Mohd Yusop melakukan siasatan lengkap kepada baginda mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah yang berlangsung di Masjid al-Khairiah Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei 2019, Surau Al-Ittihad Kampung Temiang, Ipoh pada 24 Mei 2019, serta program di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei 2019.

"Dalam tempoh siasatan dilakukan, baginda memberi perkenan cadangan Mohd Yusop supaya jawatan pengerusi masjid dan surau berkenaan yang digantung itu disandang Pegawai Tadbir Agama Daerah, selaras dengan Peraturan 10 (2), Peraturan-Peraturan Jawatankuasa Kariah Negeri Perak 2015," katanya.

Sebelum ini Pemuda Amanah Perak mendedahkan pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya empat program yang jelas menggunakan nama parti telah dijalankan di masjid dan surau sekitar negeri ini oleh UMNO dan Pas.