Teruja dapat rasa bubur lambuk Istana Pahang

Dr Wan Azizah memasukan ramuan yang disediakan bagi menyiapkan bubur lambuk resepi Istana Pahang.
A
A

KEPALA BATAS - Hasrat lebih 70 penghuni Kompleks Warga Emas Darul Hanan di sini untuk bertemu Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Maimunah Iskandariah tidak kesampaian apabila baginda terpaksa membatalkan lawatannya ke rumah penjagaan warga emas itu.

Ia berikutan kemangkatan Sultan Pahang kelima, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin Al-Muadzam Shah pada Rabu lalu.

Bagaimanapun, mereka tetap teruja apabila dapat merasai bubur lambuk istimewa resipi Istana Pahang yang telah diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang menggantikan baginda.

Salah seorang penghuni Darul Hanan, Mazenah Shariff, 64, berkata, bubur lambuk istimewa itu menggamit kenangan ketika dia menjalani ibadat puasa di kampung halaman.

Menurut warga emas yang berasal dari Terengganu itu, bubur lambuk resipi Istana Pahang turut terkenal di pantai timur dan menjadi hidangan wajib setiap kali Ramadan.

“Walaupun belum dapat lagi merasai bubur lambuk istimewa ini namun saya lihat bahan yang digunakan seakan resepi bubur lambuk di pantai timur.

"Lagipun Pahang dan Terengganu berjiran, jadi saya yakin resipi Raja Permaisuri ini tidak jauh beza dengan bubur lambuk yang saya selalu makan ketika di kampung dahulu,” katanya.

Seorang lagi penghuni Darul Hanan,Badaruddin Dahlan, 66 berkata, aroma bubur lambuk istimewa yang dimasak membuatkan dia teruja untuk menikmati resipi istimewa daripada Raja Permaisuri.

“Saya tidak pernah makan bubur lambuk resipi lain dari luar Pulau Pinang, jadi saya tidak sabar untuk menikmatinya waktu berbuka," katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama timbalannya Hannah Yeoh, dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama menyediakan dua kawah bubur lambuk ayam dan daging.

Bubur itu kemudiannya dibungkus kepada 700 bungkusan dan diagihkan kepada penghuni dan kakitangan Darul Hanan serta penduduk sekitar Kepala Batas.

Sementara itu, Pengerusi Darul Hanan, Datuk Jahara Hamid berkata, pihaknya sudah menerima resipi berkenaan beberapa hari lalu bagi menyediakan kelengkapan dan bahan untuk memasak bubur lambuk istimewa itu.

“Saya rasa satu Pulau Pinang menanti bubur lambuk resipi Istana Pahang yang dimasak Raja Permaisuri, namun tiada rezeki untuk baginda menziarahi kita.

“Bagaimanapun, resipi ini akan menjadi pengubat kepada penghuni Darul Hanan yang begitu teruja sebaik dimaklumkan bahawa Raja Permaisuri berkenan untuk hadir ke pusat jagaan ini,” katanya.