KPJ Perlis terima lebih 16,000 pesakit

Pengarah Kesihatan KPJ Perlis, Dr Naharuddin Mohamad Saifi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sambil diperhatikan oleh Rosli (kanan).
Pengarah Kesihatan KPJ Perlis, Dr Naharuddin Mohamad Saifi menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir sambil diperhatikan oleh Rosli (kanan).
A
A
A

KANGAR - Hospital Pakar KPJ Perlis berkembang pesat sejak mula beroperasi pada 17 Mei 2018 lalu dengan bilangan pesakit yang mendapat rawatan bertambah dari semasa ke semasa.

Pengurus Besar KPJ Perlis, Rosli Hamid berkata, ini sekali gus menyebabkan bilangan doktor pakar perlu ditambah bagi memenuhi permintaan pesakit untuk tempoh jangka masa panjang.

Katanya, hospital swasta pertama di Perlis itu mendapat sambutan amat menggalakkan daripada rakyat negara ini dan Thailand dengan kehadiran lebih 16,000 pesakit setakat April lalu.

"Terdapat juga peningkatan pelanggan yang bersalin di sini selain pakej-pakej lain termasuk pakej kesihatan yang menyasarkan warga pendidik di negara ini dengan kadar harga yang berpatutan," katanya pada majlis Iftar Ramadan & Sumbangan Amal sempena Sambutan Ulang Tahun Pertama Hospital Pakar KPJ Perlis semalam.

Menurutnya, pakej vaksin umrah dan pakej pemeriksaan kesihatan kemasukan pekerjaan dan instisusi pengajian tinggi turut mendapat sambutan baik sepanjang setahun penubuhan KPJ.

"Situasi ini memerlukan kita menambah kepakaran doktor mata bagi memenuhi permintaan pesakit semasa," katanya.

Tambahnya, setakat ini, KPJ Perlis mempunyai 10 doktor pakar merangkumi bedah am, tulang, telinga, hidung dan tekak, radiologi, perbidanan dan sakit puan, pediatrik serta bius.

Terdahulu, majlis yang dihadiri lebih 300 tetamu itu turut diserikan dengan pertandingan menganyam ketupat, edar bubur lambuk, tazkirah ringkas, majlis berbuka puasa dan pemberian duit raya kepada kira-kira 50 anak yatim Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh Perlis.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Exco Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Ruzaini Rais, Ahli Lembaga Pengarah, Hospital Pakar KPJ Perlis, Ramli Shariff, Pengarah Kesihatan KPJ Perlis, Dr Naharuddin Mohamad Saifi, Pemangku Pengarah Yayasan Islam Perlis, Noorhamizi Mohd Yaacob dan barisan pengurusan tertinggi KPJ Perlis.