'Saya tak sengaja, tapi...'

Mukhriz ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Nurus Salam, Ewa, di sini, tadi.
Mukhriz ketika ditemui media pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Nurus Salam, Ewa, di sini, tadi.
A
A
A

LANGKAWI - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat yang diutus beliau kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar adalah bagi meminta ampun dan maaf di atas kekhilafannya kerana tidak bersalam dengan baginda di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang semalam.

Mukhriz yang ditemui media petang tadi berharap, permohonan maafnya itu dapat diterima oleh Sultan Ibrahim kerana ia sesuatu yang tidak disengajakan.

"Saya tak sengaja tapi tak boleh guna alasan tak sengaja memandangkan sepatutnya memang kena berhenti untuk bersalaman dengan baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Mukhriz mohon maaf kepada Sultan Johor

"Biasalah, orang Kedah ni kadang kadang kita kalut, jadi berharap baginda dapat menerima permohonan maaf saya," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Kebajikan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Masjid Nurus Salam, Ewa, di sini, tadi.

Menceritakan lanjut berkaitan kejadian, Mukhriz berkata, beliau melihat Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah telah ke hadapan dan akan memulakan bacaan doa.

"Jadi, saya nak cepat ke sana tapi terlihat Yang di- Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri' ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum bersalaman untuk mengucapkan takziah kepada baginda," katanya.

Mukhriz berkata, beliau mengakui kesilapan dan memohon maaf atas kekhilafan kerana tidak berhenti bersalaman dengan Sultan Ibrahim terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar memaklumkan, surat berkenaan diutuskan hari ini kepada Istana Johor.

Menurutnya, Mukhriz telah menyembah maklum kepada baginda bahawa kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan beliau sendiri.

"Ia tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman," kata kenyataan itu lagi.