Minta Nurul Izzah tarik balik peletakan jawatan

Azan Ismail
Azan Ismail
A
A
A
KUALA TERENGGANU – PKR Terengganu meminta Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menarik balik peletakan jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang kerana ahli parti itu masih memerlukan khidmat beliau yang berjuang sejak tahun 1998 sebagai puteri reformasi.

Pengerusinya, Azan Ismail berkata, Nurul Izzah telah mendapat kepercayaan majoriti ahli PKR seluruh negara selain memperoleh undi paling banyak sebagai Naib Presiden PKR dan atas faktor itu tidak wajar beliau melepaskan jawatannya.

“Pemilihan YB Nurul Izzah sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang kerana beliau diberi mandat dan kepercayaan penuh daripada Ketua-ketua Cabang PKR di Pulau Pinang.

“Puteri Reformasi ini juga telah membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai semangat juang hebat dan komited kepada tanggungjawab diamanahkan kepada beliau dalam memperkasakan PKR,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau mewakili semua kepimpinan dan ahli PKR Terengganu berharap Nurul Izzah mempertimbangkan semula keputusan melepaskan jawatan dalam parti.
Artikel Berkaitan:


“Kami ahli PKR Terengganu masih memerlukan khidmat dan sokongan daripada YB Nurul Izzah untuk terus memimpin dan memegang jawatan tertinggi dalam PKR seperti mana yang dimanahkan oleh ahli PKR di seluruh Malaysia,” katanya.