Banduan warga Indonesia lolos dari penjara

Usaha mengesan Kobus dilakukan polis dan anggota Penjara Tapah.
A
A

TAPAH - Seorang banduan yang sedang menjalani hukuman penjara di bawah Akta Imigresen telah meloloskan diri dari Penjara Tapah, petang semalam.

Suspek dikenali Kobus, 36, warga Indonesia dikesan melarikan diri menerusi pintu belakang semasa melakukan tugas rutin di kawasan kebun kelapa sawit penjara berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 2.40 petang.

Menurutnya, operasi mencari yang dilakukan setakat ini masih belum menemui sebarang petunjuk.

"Usaha mengesan masih dibuat oleh polis dan Penjara Tapah, banduan ini dipercayai melarikan diri di kawasan belakang kebun dan menuju ke kawasan Air Kuning," katanya.

Beliau berkata, banduan berkenaan melarikan diri tanpa baju hanya memakai seluar kerja berwarna hijau dan berkasut but getah serta bertopi kelabu.

Katanya, suspek sedang menjalani hukuman di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal dan berada di Malaysia tanpa pas atau permit yang sah dan sepatutnya tamat hukuman pada Julai ini.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan diri," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia