Suspek kes bunuh El Paso Walmart dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

HOUSTON - Suspek yang menembak dan membunuh 23 orang di sebuah kedai Walmart di Texas Amerika Syarikat (AS) pada 2019 dijatuhi hukuman penjara seumur hidup pada Jumaat, lapor Anadolu Agensi.

Patrick Crusius, 24, dijatuhi 90 hukuman penjara seumur hidup, satu bagi setiap pertuduhan ke atas 90 pertuduhan.

Dia mengaku bersalah pada Februari lalu atas pertuduhan membunuh dan jenayah kebencian.

Kejadian itu disifatkan serangan maut paling tragis yang menyasarkan orang Latin dalam sejarah AS moden yang turut mencederakan 22 yang lain.

Pendakwa raya berkata Crusius melakukan serangan itu dengan niat untuk membunuh orang Mexico dan imigran.

Dia mengaku mengamalkan fahaman xenofobia dan ketuanan kulit putih menerusi catatan media sosial sejurus sebelum melakukan pembunuhan itu.

"Anda membunuh ayah saya dengan cara yang pengecut. Dia bukan perkauman seperti kamu.

"Anda pengecut yang jahil dan patut menderita di penjara dan akan dibakar di neraka. Anda adalah parasit jahat yang sebenarnya lemah jika tanpa senjata," kata Thomas Hoffman, yang bapanya turut menjadi korban dalam kejadian itu.

Crusius masih berdepan kemungkinan dijatuhi hukuman mati dalam kes berasingan namun, dia mengaku tidak bersalah. Perbicaraan kes itu dijangka pada 2024 atau 2025, menurut pejabat peguam daerah El Paso. - Bernama