Pensyarah Politeknik bebas dengan jaminan

A
A

MELAKA - Seorang pensyarah Politeknik yang direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM204,344.21, dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Majistret Lee Kim Keat membenarkan suspek berusia 38 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Lelaki itu sebelum ini bersama seorang lagi suspek yang merupakan seorang pengurus syarikat pembekal direman sejak 16 Mei lepas.

Namun, pada 22 Mei lalu, pengurus syarikat itu dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM50,000 iaitu RM3,000 tunai dan RM47,000 tanpa cagaran dengan seorang penjamin.

Penahanan reman itu dibuat bagi membolehkan SPRM menjalankan siasatan terhadap kedua-dua suspek mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek disyaki membuat tuntuan palsu berkaitan kerja-kerja pembekalan barang-barang keperluan latihan pasukan ragbi pada 2014.

Selain itu, suspek dipercayai melakukan beberapa tuntuan palsu lain berkaitan kerja-kerja pembekalan lain kepada Politeknik tersebut sejak 2014 hingga 2018. - Bernama