Perangkap cinta untuk berjudi

Sebahagian daripada suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan, malam tadi.
Sebahagian daripada suspek yang ditahan dalam operasi berkenaan, malam tadi.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Memperdaya mangsa sehingga jatuh cinta dengan menggunakan aplikasi WeChat dipercayai menjadi taktik satu sindiket kegiatan perjudian dalam talian yang berjaya ditumpaskan polis, malam tadi.

Sindiket terbabit digempur polis kira-kira jam 10 malam tadi yang mana didapati menjalankan pusat operasinya di sebuah lot pejabat dalam bangunan City Plaza, Jalan Tebrau di sini.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Deputi Superintenden Mohd Zairi Badderul berkata, sindiket berkenaan dipercayai bergerak aktif sejak sebulan lalu dan didalangi warganegara China.

Menurutnya, hasil siasatan kemudiannya turut mendapati kawasan itu turut dimaklumkan bersembunyi sebagai pusat panggilan awam.

"Dalam serbuan ini kami telah menahan seramai 123 warganegara China yang mana mereka ini adalah pekerja berusia antara 16 hingga 47 tahun. Daripada jumlah tersebut 109 adalah lelaki dan 14 pula wanita.

"Mereka mencari pelanggan dengan memperdaya mangsa sehingga jatuh cinta sebelum memerangkap mereka menyertai judi secara dalam talian menerusi aplikasi WeChat," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Zairi berkata, suspek dipercayai mempromosikan perjudian talian melalui laman web sebelum memperdayakan mangsa.

Beliau berkata, siasatan mendapati pembayaran juga dibuat menggunakan mata wang negara berkenaan dan pusat panggilan itu dipercayai aktif serta beroperasi 24 jam dengan tiga syif berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Risikan dilakukan selama dua minggu sebelum serbuan dibuat. Dalam operasi ini kita juga berjaya merampas sebanyak 118 buah komputer riba dan 287 telefon bimbit.

"Turut dirampas adalah 77 buah buku yang mengandungi skrip penipuan dalam bahasa Cina," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(2)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.