DBKL ambil alih pengurusan Pusat Komuniti Bukit Damansara

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Komuniti Bukit Damansara yang diuruskan oleh pihak swasta sebelum ini telah dikembalikan semula kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkuat kuasa 1 April lepas.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berkata, pusat komuniti yang dibina sejak lebih 10 tahun itu pada asalnya milik DBKL sebelum pengurusannya diserah kepada sebuah syarikat swasta pada tahun 2015.

"DBKL telah menandatangani kontrak selama empat tahun dengan syarikat swasta itu untuk menguruskan pusat komuniti itu yang kemudiannya ditukar nama sebagai 'Dewan D'Lavender'.

"Sepatutnya tempoh pengurusan itu berakhir pada 31 Disember ini tetapi setelah rayuan daripada penduduk dan perbincangan dengan Datuk Bandar (Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan), akhirnya tempoh pengurusan itu ditamatkan pada 31 Mac lepas dan diserah kembali kepada DBKL," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata, kadar sewa perkhidmatan bagi pusat komuniti itu juga akan diturunkan mengikut kadar yang diselaraskan oleh DBKL.

"Sebelum ini, kadar sewa untuk majlis perkahwinan ataupun majlis-majlis 'private' ialah RM3,500 sehari namun kadar baharu yang ditetapkan oleh DBKL telah diturunkan kepada hanya RM1,500 sahaja sehari.

"Selain itu, kadar sewa untuk gelanggang badminton turut diturunkan daripada RM24 sejam kepada hanya RM8 sahaja sejam, ia secara tidak langsung meringankan beban penduduk di sekitarnya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Mohd Nazam Harun berkata orang ramai kini boleh menempah penggunaan dewan secara online di http://appsys.dbkl.gov.my/kl-spef mulai 11 Jun.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun oleh kerana DBKL baru mengambil alih pengurusan, buat masa ini kami hanya boleh menerima tempahan secara manual menerusi kaunter dengan pegawai DBKL di pusat komuniti itu," katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik-pemilik Rumah Bukit Damansara, Datuk Zakaria Hashim berkata, pihaknya bersyukur kerana permintaan mereka terhadap DBKL untuk mengambil semula pengurusan itu ditunaikan.

"Sebelum ini penduduk terpaksa membayar harga yang mahal untuk menggunakan perkhidmatan di pusat komuniti ini dan diharapkan dengan pengurusan DBKL, ia dapat merakyatkan semula pusat komuniti ini dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk," katanya. - Bernama