Empat nelayan ditahan guna tangguk tangkap siput

Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan ke atas bot nelayan.
Pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan ke atas bot nelayan.
A
A
A

YAN – Sebuah bot kelas A yang dipercayai melakukan aktiviti menangkap siput bersama empat awak-awak warga tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Kuala Kedah, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata tangkapan dilakukan pada jam 2.30 pagi tadi pada jarak 0.3 batu nautika Tenggara Pulau Bunting.

Katanya, kesemua nelayan yang ditahan berusia di antara 18 hingga 40 tahun.

"Pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan yang tidak dilesenkan iaitu tangguk tunda siput (sangkar besi)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahmad Faizal, nelayan berkenaan juga turut didakwa beroperasi di luar waktu yang dibenarkan.

"Pihak kami sentiasa mengambil maklum terhadap aduan tentang pelanggaran undang-undang yang sebahagiannya melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh pengusaha-pengusaha bot siput," katanya.

Siput yang terdapat di atas bot nelayan yang dirampas.
Siput yang terdapat di atas bot nelayan yang dirampas.

Tambah Mahmad Faizal, pihaknya turut merampas peralatan berupa sebuah set sangkar besi yang dianggarkan bernilai RM3,000.

Artikel Berkaitan:

"Bot nelayan juga kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Menurut Mahmad Faizal, pihaknya sangat mengharapkan maklumat dan kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini.

Tambahannya, sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.